Google lancar program latihan digital Gemilang, tawar pembelajaran fleksibel untuk rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Google lancar program latihan digital Gemilang, tawar pembelajaran fleksibel untuk rakyat Malaysia

Gemilang menawarkan perjalanan pembelajaran yang fleksibel kepada semua rakyat Malaysia. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Google melancarkan program latihan digital terbaharunya, Gemilang yang menawarkan perjalanan pembelajaran yang fleksibel kepada semua rakyat Malaysia. 

 

Ini termasuk Sijil Kerjaya Google dan ia membolehkan para pelajar untuk membangunkan ilmu mereka serta memperoleh kemahiran digital untuk pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi. 

 

Dalam misi untuk Majukan Malaysia Bersama, Google juga telah mengukuhkan komitmennya untuk membolehkan ekonomi digital yang saksama dan inklusif dengan menawarkan 31,000 biasiswa melalui rakan kongsi tempatan, yang terdiri daripada institusi pendidikan, rakan industri dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.

 

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo berkata, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat menyokong seramai mungkin rakyat Malaysia, pihaknya komited untuk menyokong sebuah ekosistem digital yang lebih saksama dan inklusif. 

 

"Sebuah ekosistem yang dibina untuk setiap rakyat Malaysia, dan ini merupakan sebuah visi yang tidak boleh dilakukan secara sendirian. 

 

"Kami di Google Malaysia, bersama rakan-rakan kami, ingin memberi peluang mendapat kemahiran digital untuk memanfaatkan semua rakyat Malaysia dari semua latar belakang. 

 

"Melalui Gemilang, lagi ramai rakyat Malaysia akan dapat mengakses peluang latihan, mempelajari kemahiran baharu, mencari pekerjaan dan membina kerjaya mereka dalam ekonomi digital ini sambil ia berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

google
Marc Woo (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika pelancaran Gemilang

 

 

Disediakan pada platform pendidikan dalam talian, Coursera, Sijil Kerjaya Google merupakan program latihan dalam talian serba serbi yang membolehkan pelajar yang tidak mempunyai sebarang pengalaman atau ijazah untuk membuka peluang pekerjaan baharu dalam 6 bidang, meliputi analisis data, sokongan IT, automasi IT, pengurusan projek, Reka Bentuk UX dan pemasaran digital & e-dagang. 

 

Setiap sijil dicipta oleh pakar-pakar Google dan direka untuk melengkapkan para pelajar dengan kemahiran asas melalui pembelajaran ‘hands-on’, membolehkan mereka maju mengikut kadar mereka sendiri sambil belajar atau bekerja.

 

Untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memanfaatkan Sijil Kerjaya Google, Google akan menawarkan biasiswa kepada 31,000 pelajar untuk memperoleh sijil tanpa kos. 

 

Google akan bekerjasama dengan institusi pendidikan termasuk Mereka Academy, rakan industri termasuk Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Trainocate dan organisasi bukan berasaskan keuntungan termasuk Girls in Tech, Malaysian Digital Association, Women in Tech dan Yayasan Tunku Abdul Rahman untuk mengedarkan biasiswa tersebut.

 

Google juga akan bekerjasama dengan rakan universiti, seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menawarkan kurikulum Google Cloud kepada pelajar pengajian tinggi untuk menyediakan mereka untuk dunia yang mengutamakan awan. - DagangNews.com