Johan Jaaffar ingatkan kerajaan jangan guna undang-undang lapuk sekat kebebasan media | DagangNews Skip to main content

Johan Jaaffar ingatkan kerajaan jangan guna undang-undang lapuk sekat kebebasan media

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei - Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini. 

 

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, perkara itu juga merupakan janji Kerajaan yang memerintah hari ini.

 

"Saya betul-betul berharap bahawa kebebasan media difahami sepenuhnya oleh semua pihak dan pengamal media dibenarkan untuk membuat laporan tanpa  takut dan memihak. 

 

"Media punya hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoalkan tindakan mana-mana tokoh umum," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

 

Kata wartawan veteran itu, dalam hal ini terdapat ruang untuk mana-mana pihak menanyakan tanggunjawab organisasi media dalam laporannya.

 

"Tetapi bukan melalui ugutan dan tindak balas," tegasnya dalam kenyataan itu bagi mengulas kontroversi dan siasatan pihak berkuasa ke atas Bloomberg berhubung laporan berita tentang cadangan mewujudkan kasino di Forest City, Johor Bahru. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar mahu Berjaya, Genting ambil tindakan terhadap laporan Bloomberg mengenai kasino Forest City

 

Sehubungan itu, Johan menggesa pihak polis untuk mengambil pendekatan berhemah, penuh waspada dan penuh pemahaman dalam mengendalikan kes membabitkan seorang wartawan Bloomberg, Ram Anand.

 

Menurut tokoh wartawan itu, beliau amat memahami sensitiviti kes yang terbabit dan kontroversi berakibat dartipada laporan berita tentang  cadangan mewujukan kasino di Forest City. 

 

Katanya, semua pihak yang disebutkan dalam laporan itu telah menafikannya dan itu hak mereka untuk berbuat demikian manakala Ram Anand bertanggungjawab penuh ke atas berita itu dan akauntabilitinya adalah pada beliau. 

 

 

forest city
Gambar Forest City

 

"Beliau (Ram Anand) tertakluk pada etika kewartawanan bagi memastikan keadilan dan kejujuran dalam mendapatkan maklumat, melapor dan menulis berita itu. Lebih penting lagi beliau harus mengambil tanggungjawab penuh ketepatan tulisannya.

 

"Daripada apa yang saya ketahui, Ram Anand adalah salah seorang daripada tiga orang wartawan yang menyumbang kepada berita itu.

 

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada hari Jumaat lalu memberitahu bahawa Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan mengambil kenyataan daripada Ram Anand. Menurut beliau kes itu akan disiasat atas hasutan, jenayah fitnah dan kesalahan membabitkan talian," jelasnya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya Corp buat laporan polis bagi kenal pasti 'sumber tidak dinamakan' dalam laporan resort kasino Forest City

 

Johan pada masa sama berkata, beliau sentiasa percaya bahawa memelihara kebebasan media adalah penting untuk sebuah demokrasi seperti Malaysia. 

 

Tambahan pula kata beliau, media bebas adalah tonggak kepada demokrasi yang sihat dengan media memainkan peranan penting untuk tujuan semak dan imbang selain menjadi penyuluh kebenaran. 

 

"Amat malang sekali bahawa Indeks Kebebasan Media Global yang terbaru menunjukan keduduukan kita menjunam dari 73 kepada 107 tahun ini. 

 

"Ini sepatutnya menjadi peringatan yang mengejutkan bagi pengamal media dan Kerajaan," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PM Anwar nafi berunding dengan taikun buka kasino di Forest City

 

Bloomberg dalam laporan 25 April 2024, mendakwa Kerajaan Malaysia `sedang dalam perbincangan awal' dengan taikun mengenai pembukaan kasino di Forest City, memetik sumber sebagai usaha memulihkan projek hartanah bernilai AS$100 bilion (RM478.35 bilion).

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan media tersebut yang mendakwa bahawa kerajaan kononnya dalam perbincangan awal untuk mengeluarkan lesen kasino di Forest City.

 

Penafian sama turut ditegaskan Berjaya Corp yang dikaitkan dalam laporan tesebut.- DagangNews.com