KUALA LUMPUR 16 Mei - MIDF Research menyarankan pemegang saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya menerima tawaran belian RM11 sesaham yang ditawarkan konsortium untuk mengambil alih pengendali lapangan terbang itu sebagai syarikat persendirian.
Menurut firma penyelidikan itu, anggaran pendapatan MAHB kekal tidak berubah dengan dijangkakan perbelanjaan modal yang besar diperlukan pada tahun-tahun akan datang untuk pengembangan dan pembangunan lapangan terbang.
Katanya, ini yang berpotensi membawa kepada kelewatan dalam realisasi pendapatan, terutamanya memandangkan ketidaktentuan di sekeliling landskap kawal selia.
"Nilai saksama terbitan DCF kami untuk Malaysia Airports kekal pada RM8.75 sesaham.
"Dengan mengandaikan pra-syarat dipenuhi atau diketepikan, kami mengesyorkan pelabur menerima tawaran belian pada RM11.00 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar baharu caj perkhidmatan penumpang tidak cukup buat MAHB biayai rancangan perbelanjaan modal - Kenanga Research
Malaysia Airports telah menerima tawaran pengambilalihan daripada sekumpulan pelabur yang termasuk pemegang saham utamanya adalah Khazanah Nasional Bhd, dalam urus niaga bernilai lebih RM12 bilion.
Konsortium diterajui Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), bersama-sama menawarkan RM11 sesaham untuk membeli semua baki saham yang belum dimiliki oleh mereka, menurut sebuah kenyataan.
Tawaran tersebut mewakili premium sebanyak 5.77% berbanding harga penutup semalam sebanyak RM10.40 sesaham, yang hanya kurang empat sen dari harga tertinggi MAHB sebanyak RM10.44 awal minggu ini.
Di bawah syarat-syarat cadangan, konsortium akan membeli semua baki 1.12 bilion saham MAHB yang tidak dimiliki pada masa ini, mewakili 58.77% pegangan, dengan harga RM11 setiap saham.
Konsortium itu tidak bercadang untuk mengekalkan status senarai MAHB setelah penyelesaian tawaran, yang dijangka berlaku pada suku keempat tahun ini.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, MAHB mempunyai potensi peningkatan yang kukuh kepada harga sasaran semasanya pada RM10.25 sesaham.
Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan tempoh panjang diperlukan sebelum pemegang saham dapat menyedari dan mengekstrak nilai.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports diberi hak urus lapangan terbang 45 tahun lagi sehingga Feb 2069
"Oleh itu, kami menasihatkan pemegang saham yang ingin tunai dalam pelaburan semasa mereka dalam MAHB supaya menerima tawaran RM11," katanya dalam kemas kini syarikat.
Dalam tinjauannya terhadap pengendali lapangan terbang, HLIB menyatakan bahawa MAHB telah melaporkan pemulihan perjalanan penumpang yang kukuh pada 1Q24 sejak sempadan Malaysia dibuka semula pada April 2023.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan perjalanan udara di Malaysia terus kukuh selepas era pandemik manakala lanjutan perjalanan tanpa visa ke China baru-baru ini akan memastikan pemulihan berterusan dalam permintaan trafik China.
Di Turki, HLIB berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGA) telah mencatatkan keuntungan sejak 2023, dengan jangkaan pertumbuhan trafik yang berterusan dan pendapatan serta aliran tunai yang kukuh pada tahun-tahun akan datang.
Inisiatif yang diberi perhatian termasuk KLIA Aeropolis, Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang, pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, serta kemungkinan MAHB merealisasikan pelaburannya dalam ISGA.- DagangNews.com