Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd telah menerima tawaran pengambilalihan daripada sekumpulan pelabur yang termasuk pemegang saham utamanya Khazanah Nasional Bhd, dalam urus niaga bernilai lebih RM12 bilion.

 

Konsortium diketuai Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), bersama-sama menawarkan RM11 sesaham untuk membeli semua baki saham yang belum dimiliki oleh mereka, menurut sebuah kenyataan.

 

Ini menjadikan MAHB sebagai sebuah syarikat persendirian.

 

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah Malaysia Airports berkata, pada 15 Mei 2024, mereka dimaklumkan oleh AmInvestment Bank bagi pihak Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA), Pantai Panorama Sdn Bhd (PPSB), Kwasa Aktif Sdn Bhd (KASB) dan GIP Aurea Pte Ltd (GIP Aurea) yang bertindak sebagai Penawar Bersama untuk memperoleh kesemua 1,118,098,325 saham biasa di dalam MAHB yang tidak dipegang oleh Penawar Bersama (Saham Tawaran), yang mewakili 67.01% daripada jumlah saham MAHB  pada harga tawaran tunai sebanyak RM11.00.

 

Sehingga tarikh Pengumuman Tawaran Pra-Syarat ini, sejumlah 550,456,107 saham yang mewakili 32.99% daripada jumlah saham yang dikeluarkan oleh MAHB telah dipindahkan oleh Khazanah Nasional Berhad ("Khazanah") kepada PPSB, sebuah anak syarikat sepenuhnya tidak langsung milik Khazanah (menerusi UEM). KWSP pula memiliki KASB.

 

"Setelah penyelesaian penuh tawaran, Khazanah akan meningkatkan pemilikan dalam MAHB dari 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.

 

"Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70% MAHB. ADIA  dan GIP akan memegang baki 30%," kata kenyataan bersama kumpulan pelabur berkenaan.

 

Dalam lampiran tawaran kepada Bursa Malaysia itu, konsortium berkenaan atau Penawar Bersama berkata, Kerajaan Malaysia akan mengekalkan beberapa hak saham khas dalam MAHB dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB akan terus diisi oleh warganegara Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham MAHB digantung, dipercayai umum jadi syarikat persendirian

 

Kumpulan pelabur berkenaan juga berkata, untuk mengelakkan sebarang keraguan, mereka mengesahkan bahawa tiada rancangan untuk memberhentikan pekerja sebagai hasil transaksi ini dan hak pekerja sedia ada akan dilindungi sepenuhnya.

 

"Tidak akan ada perubahan kepada kadar caj perkhidmatan penumpang yang diterbitkan oleh MAVCOM pada 12 Mac 2024 sebagai hasil transaksi ini.

 

mahb

 

"Penawar Bersama tetap komited kepada operasi lapangan terbang dan meningkatkan tahap perkhidmatan di Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye," katanya.

 

Dalam pada itu, Penawar Bersama menjelaskan rasionalisasi tawaran dibuat kerana lapangan terbang MAHB adalah pintu gerbang utama ke Malaysia dan Türkiye dan adalah penting bagi lapangan terbang antarabangsa untuk menunjukkan standard perkhidmatan yang tinggi dan konsisten.

 

Katanya, dengan gabungan keupayaan mereka, Penawar Bersama yakin bahawa mereka dapat mencapai objektif mereka untuk menaik taraf dan memodenkan operasi MAHB, meningkatkan perkhidmatan penumpang, meningkatkan penyambungan penerbangan dan merangsang pertumbuhan trafik. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, KWSP didakwa mahu jual saham dalam Malaysia Airports

 

"Semua ini akan membantu menggugah potensi rangkaian lapangan terbang Malaysia dan mendorong pembangunan berterusan Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye.

 

"Penawar Bersama percaya bahawa objektif ini akan dicapai dengan baik oleh MAHB sebagai entiti swasta, mengambil pendekatan jangka panjang dalam membuat keputusan dan pelaburan modal, dan mendapat manfaat daripada kepakaran lapangan terbang GIP," katanya.

 

Penawar Bersama telah mengenal pasti beberapa inisiatif keutamaan antaranya memberi tumpuan segera kepada menilai projek perbelanjaan modal penting dan menyelesaikan kelewatan, termasuk aerotrain dan sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Keutamaan lain, meningkatkan pengalaman penumpang dengan Penawar Bersama merancang untuk mengurangkan kesesakan, meningkatkan aliran penumpang dan suasana terminal di lapangan terbang MAHB, dan memperluaskan tawaran runcit dan makanan dan minuman.

 

"Bidang tumpuan utama bagi Penawar Bersama akan memperluas rangkaian penerbangan jarak jauh di KLIA, serta meningkatkan keseluruhan penyambungan di lapangan terbang negeri MAHB.

 

"Menjaga tahap keselamatan yang tertinggi untuk penumpang dan pekerja: Kesejahteraan dan keselamatan kakitangan dan pengembara MAHB akan menjadi keutamaan tertinggi kepada Penawar Bersama pada setiap masa," jelasnya.- DagangNews.com