Pendapatan Nestle 1QFY24 dijangka lebih rendah kesan peralihan pengguna kepada jenama tempatan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Nestle 1QFY24 dijangka lebih rendah kesan peralihan pengguna kepada jenama tempatan - MIDF Research

Nestle berdepan peningkatan kos input beberapa bahan mentah seperti biji kopi.Gambar hiasan Nestle Malaysia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - Peralihan pengguna kepada produk jenama tempatan sejak beberapa bulan lalu dijangka memberi kesan kepada pendapatan Nestle Malaysia bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang diramal lebih rendah berbanding suku sama setahun sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, tambahan pula Nestle berdepan kenaikan kos input bahan mentah seperti biji koko, biji kopi arabica dan robusta di samping  peningkatan kos kakitangan dan perbelanjaan penjualan dan pengedaran.

 

Walau bagaiamanapun kata firma penyelidikan itu, berbanding suku tahunan sebelumnya, hasil dijangkakan lebih tinggi sedikit terutamanya didorong oleh perayaan Tahun Baharu Cina.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan digesa teliti kesan boikot pada ekonomi - Ahli Parlimen

 

Sementara itu, MIDF Research dalam nota penyelidikan itu berkata, keputusan 1QFY24 Nestle bakal dikeluarkan pada 29 April ini dengan dijangkakan untung bersih (PATAMI) untuk suku itu sebanyak pada RM190.9 juta-RM214.7 juta, tidak termasuk kos yang tidak dijangka.

 

Katanya, pada 1QFY23, Nestle mencatatkan untung bersih RM208.4 juta manakala 4QFY23 pula sebanyak RM199.3 juta. 

 

"Unjuran ini didasarkan pada anggaran pendapatan RM1.78 bilion-RM2.0 bilion dalam 1QFY24 (berbanding RM1.82 bilion dalam 1QFY23; RM1.69 bilion dalam 4QFY23) dengan mengandaikan kedua-dua teras PATAMI dan hasil menyumbang 24%-27% kepada ramalan FY24 tahun penuh kami.

 

"Tiada pembayaran dividen dijangka pada suku tersebut, kerana Nestle biasanya mengagihkan dividen semasa S2-4Q," ujarnya.

 

MIDF Research dalam pada itu mengakui trend pengguna Malaysia menjadi lebih berhati-hati dalam tabiat berbelanja yang berpotensi memihak kepada alternatif yang menawarkan harga yang lebih rendah.

 

Pada masa yang sama, kami meramalkan cabaran dalam bentuk peningkatan kos operasi berpunca daripada pengenalan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi dan potensi pelaksanaan subsidi bahan api yang disasarkan, yang boleh meningkatkan lagi perbelanjaan operasi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Koko dunia melambung mahal, Nestle Malaysia terpaksa naikkan harga beberapa produk

 

"Di sebalik kebimbangan ini, kami menjangkakan kedudukan pasaran Nestle terus kukuh dengan permintaan produk yang stabil. 

 

"Selain itu, penstabilan harga input utama (seperti gula, susu dan gandum) mungkin mengurangkan sebahagian kesan kenaikan kos koko, Arabika dan Robusta. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan panggilan NEUTRAL kami terhadap Nestle," katanya dengan mengekalkan harga sasaran (TP) Nestle RM127.00 sesaham.- DagangNews.com