Mencari Tamadun Alam Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 15 April 2024

MENCARI TAMADUN ALAM MELAYU

 

 

Laut terbentang ke ufuk biru
Tempat bermain si anak naga
Sungguh sayang Tamadun Melayu
Kuberikan seluruh jiwa dan raga 

 

 

KAJIAN dan penulisan berterusan tentang tamadun lama merupakan amanah yang besar terhadap pemerkasaan bangsa dan identiti negara.

 

Apalah tamadun tanpa anak bangsa memperjuangkan kewujudannya. Apalah bangsa tanpa budaya. Apalah budaya tanpa bahasa. Apalah bahasa tanpa adab. 

 

Setiap satu merupakan titik kesinambungan tamadun alam Melayu yang indah. 

 

Namun, jika kita pergi ke muzium seluruh dunia, kita akan lihat Tamadun Yunani, Tamadun Rom, Tamadun China, Tamadun Aztec, Tamadun Mesir dan bermacam lagi.

 

Yang menghairankan,  Tamadun Alam Melayu terus tersisih walaupun ia telah kekal berzaman dan mempunyai rekod kewujudan lebih 2000 tahun, mempunyai aksara bahasa tersendiri dan warisan sejarah, seni budaya dan sastera yang sangat tinggi nilainya. Mengapakah ini berlaku? 

 

Apakah kurang bukti sejarah? Kita ada Perak Man, Sejarah Melayu dan Sungai Batu. 

 

 

hikayat

 

 

Kebangkitan bukti dan peninggalan sejarah Sungai Batu sebagai pusat relau besi dunia memberikan gambaran Tamadun Alam Melayu yang hebat. 

 

Kita ada catatan seluruh dunia tentang sejarah kewujudan kerajaan seperti Langkasuka, Patani, Meka dan Champa. 

 

Namun, kita masih menyepi. Kita masih menyendiri. Menyangkal keberadaan Tamadun Alam Melayu ini. 

 

Apa yang diperlukan adalah karya dan lukisan supaya kita boleh bayangkan Tamadun Alam Melayu. Shakespeare memperkenalkan Antony dan Cleopatra kepada dunia pada tahun 1606.

 

Novel Three Kingdoms abad ke-3 memperkenalkan Tamadun China. Karya Hilary Mantel memberikan kita kisah dari zaman pemerintahan Henry ke-VIII. 

 

Ini adalah antara sebab kesedaran tentang warisan sejarah, seni budaya, dan sastera memainkan peranan penting dalam memartabatkan identiti negara dan boleh mewujudkan daya tarikan pelancongan yang unik.

 

Negara seperti Mesir, Turkiye, Indonesia, dan China mendapat jutaan pelancong ke pusat pelancongan seperti Piramid Giza, Patung Terracota di Xian dan Borobodur di Indonesia. 

 

 

borobudur

 

 

Dengan pemahaman lebih mendalam tentang tamadun lama oleh semua lapisan masyarakat, keunikan tanah air dapat terserlah dengan lebih jelas melalui penghargaan terhadap kekayaan budaya yang dimiliki.

 

Ini dapat diterjemahkan dalam bentuk produk pelancongan, filem, busana, makanan, kraf dan lain lain lagi. Destinasi pelancongan yang mengintegrasikan elemen sejarah dan seni budaya tempatan akan memberikan pengalaman yang berbeza dan menarik bagi pelancong.

 

Sastera dan budaya tempatan turut menjadi aspek penting dalam memperkukuhkan industri kebudayaan dan pelancongan. Ia menjanjikan pengalaman serta penceritaan yang mendalam terhadap setiap perjalanan dan interaksi dengan warisan budaya lama.

 

Dengan itu, kekuatan dan kebanggaan masyarakat terhadap warisan budaya akan terus berkembang dan menjadi asas utama dalam mempromosikan industri kebudayaan dan pelancongan negara.

 

Yang paling penting, penerbitan boleh membantu melestarikan warisan sejarah, seni, dan budaya serta sastera setempat. Ini penting untuk generasi hadapan terus memelihara warisan yang berharga dan mewarisi nilai-nilai luhur yang telah dilupakan.

 

Melalui penulisan dan penerbitan, kesedaran terhadap keunikan negara dapat dipertingkatkan, serta mendorong perkembangan industri kebudayaan dan pelancongan lebih pesat.

 

Malah Hikayat Fandom giat memastikan persembahan budaya yang diilhamkan hikayat dan cerita rakyat di majlis pelancaran setiap penerbitannya.

hikayat

Kami di Hikayat Fandom, mengambil peluang bekerjasama dengan pelbagai sektor untuk memastikan warisan sejarah, seni budaya dan sastera serta kelestarian kesusasteraan negara dapat terus diperkembangkan berdasarkan warisan sejarah, seni dan budaya serta sastera Tamadun Alam Melayu.

 

Dalam kalangan kanak kanak Malaysia, ramai yang terdedah pada cerita animasi dan komik legenda barat berunsurkan kisah legenda Tamadun Barat, Mesir, Yunani, Korea, Jepun dan China. Tiba masanya mereka mengenal Tamadun Alam Melayu.

 

Projek Penerbitan terbaru kami merangkumi buku bersaiz besar Folio Kulit Tebal iaitu:

a. TAMADUN ALAM MELAYU – Ensaiklopedia Berilustrasi Dunia Melayu
b. MALAY ARCHIPELAGO – An Illustrated Encyclopedia of the Ancient Malay World

 

Tak kenal maka tak cinta. Maka penerbitan ini akan memberi impak kepada jati diri dan sikap patriotisme anak bangsa.

 

Dengan adanya penerbitan sebegini, pelbagai kandungan seperti animasi, filem, persembahan kebudayaan dapat menyemarakkan dan mengilhamkan kepelbagaian daya tarikan pelancong di negara kita. - DagangNews.com

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags