Bursa Malaysia dibuka tinggi, KLCI lepasi paras 1,600 mata kali pertama dalam tempoh 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia dibuka tinggi, KLCI lepasi paras 1,600 mata kali pertama dalam tempoh 2 tahun

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan pagi hari ini, melepasi paras 1,600 mata, kali pertama dalam tempoh kira-kira dua tahun.
 

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.87 mata kepada 1,602.26 daripada 1,597.39 semalam.

 

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.46 mata pada 1,600.85.

 

 

Pada jam 10.59 pagi, indeks itu terus naik kepada 1,605.16 mata, mencatatkan paras tertinggi sejak 5 Mei 2022

 

Saham-saham utiliti dan saham-saham perbankan yang mempunyai pengaruh besar dalam indeks tersebut turut meningkat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maybank IB kekalkan sasaran KLCI ditutup 1,610 mata akhir tahun ini disokong pelan tindakan makro, pendapatan kukuh korporat

 

Di pasaran meluas, kaunter untung mendahului rugi iaitu 225 berbanding 119 manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,663 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

 

Sementara Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street mengekalkan aliran menaiknya dengan harapan Rizab Persekutuan (Fed AS) akan mengurangkan kadar faedah lebih awal.

 

Di peringkat tempatan, beliau berkata, FBM KLCI mempunyai prestasi memberangsangkan sejak pertengahan April, meningkat 4% apabila dana asing kembali dan pembelian dalam saham mewah berterusan.

 

"Berdasarkan aliran meningkat semasa, sasaran bagi tahun 2024 adalah sebanyak 1,660, ia boleh dicapai kerana Bursa Malaysia kekal pada harga berpatutan," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Bagi kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.84, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.22, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM12.42, manakala CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM6.75 dan RM6.30.- DagangNews.com