Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
BERAPA ramai pekerja kandungan kreatif terlatih yang ada di Malaysia?
Nampaknya soalan tersebut masih sukar dijawab oleh industri kandungan kreatif dengan tepat – terutamanya yang berkaitan sektor perfileman. Selain isu pengumpulan data – proses akreditasi dalam industri ini masih menjadi perbahasan malah perdebatan banyak pihak.
Akreditasi dalam industri kreatif mempunyai cabarannya yang tersendiri. Kebanyakan proses akreditasi dalam industri ini adalah berteraskan skil dan bakat; yang dilihat subjektif dan kadangkala lebih kerap dinilai dengan persepsi.
Industri kreatif harus mempunyai kefahaman bahawa akreditasi bukannya medan untuk memperlihatkan siapa yang lebih hebat daripada sesiapa. Panel yang dilantik dalam proses evaluasi akreditasi juga tidak semestinya lebih arif dan pakar berbanding calon yang dinilai. Ini adalah satu persepsi yang salah – yang perlu diperjelas kepada semua yang terlibat dalam industri kreatif.
Akreditasi adalah satu sistem yang dirangka dalam memastikan sesuatu perkara, atau bidang mempunyai satu aturan dan kerangka kerja yang jelas – memastikan sumber manusia negara dalam industri ini adalah kompeten – mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Kita tidak boleh membina industri dengan `agak-agak`.
Dalam proses akreditasi, kerangka penilaian kebiasaannya telah dibangunkan lebih awal – yang mana para panel dilantik bukanlah berasaskan kepakaran beliau tentang bidang semata-mata (walau ia seharusnya menjadi nilai tambah) – tetapi adalah daripada individu yang memahami tentang kerangka penilaian tersebut – terutama dalam konteks pengukuran dan pendokumentasian.
Pendokumentasian adalah elemen penting yang sering kurang diberikan perhatian oleh mereka yang terlibat dalam bidang berasaskan bakat – tetapi harus kita sedar bahawa ia merupakan antara teras utama dalam proses akreditasi.
Para panel ini bertindak memastikan calon yang dinilai memenuhi kriteria yang telah dinyatakan dalam kerangka akreditasi terbabit – mengikut program akreditasi yang dilalui setiap calon; memandangkan setiap program akreditasi mempunyai ciri dan hasrat yang berbeza.
Jadi, tidak timbul isu akreditasi menjadi medan untuk memperlihatkan siapa lebih hebat – suatu persepsi yang seringkali saya dengar sepanjang terlibat dalam akreditasi industri ini dengan beberapa platform badan akreditasi.
Mengapa saya memilih untuk memperkatakan tentang akreditasi dalam ruang ekonomi ini?
Akreditasi mempunyai impak yang jelas kepada industri kandungan kreatif; khususnya dalam konteks industri dan ekonomi.
Sebagai contoh, ia mampu menjadi antara kekuatan dan faktor utama dalam membina kepercayaan pelabur terhadap industri kandungan kreatif Malaysia - khususnya dari luar negara. Ia juga menyediakan kolam bakat – yang boleh digerakkan dalam menjadikan Malaysia destinasi penyumberluaran (outsourcing) bagi kerja-kerja kandungan kreatif dari luar negara – malah tidak mustahil dari Hollywood – seperti yang telah dibuktikan oleh beberapa syarikat penyedia kesan khas di negara ini.
Penyumberluaran merupakan salah satu sektor yang wajar diteroka oleh industri kandungan kreatif negara berasaskan kos sumber manusia dan bahan mentah yang kompetiltif rendah di negara ini. Hasrat untuk memberikan perhatian kepada pembangunan harta intelek (IP) tempatan – tidak bermakna kita boleh mengenepikan terus potensi sektor penyumberluaran ini.
Kita dapat melihat pendekatan Indonesia yang menurut saya sebagai bijak dan seimbang dalam membangunkan kandungan kreatifnya di seluruh negara – dan tidak hanya tertumpu di ibu negaranya.
Usaha Indonesia membangunkan Batam sebagai destinasi penyumberluaran kandungan kreatif sesuatu yang sudah mula menampakkan hasil. Dengan hasil penyumberluaran, Batam kini dilihat tidak ketinggalan dalam kandungan kreatif – pendekatan yang lebih praktikal - berbanding jika mereka terpaksa bersaing dengan beberapa bandar besar seperti Jakarta dan Jogjakarta dalam melahirkan produk mereka sendiri.
Dari industri penyumberluaran, peluang pekerjaan kandungan kreatif di Batam bertambah, malah dalam memenuhi keperluan itu – ada pekerja Malaysia memilih untuk berhijrah ke sana; situasi yang mungkin boleh dilihat sebagai satu kerugian kepada negara kita.
Batam memanfaatkan perkembangan industri kreatif di sekitar wilayahnya seperti Singapura dan selatan Malaysia untuk mengambil peluang menawarkan perkhidmatan penyumberluaran dengan kos lebih rendah. Jika dilihat pola berasaskan jarak dan geografi ini, tidak mustahil Kota Kinabalu mampu mengambil kesempatan yang sama terhadap perkembangan kandungan kreatif di Korea Selatan, China dan Jepun – sebagai alternatif kepada Filipina yang dilihat lebih ke hadapan dalam sektor penyumberluaran kandungan kreatif ini.
Dengan kumpulan tenaga kerja terlatih yang dibangun dan diakreditasi secara baik - beberapa lokasi di Malaysia yang sebelum ini kurang menyerlah dalam kandungan kreatif mampu dan berpotensi untuk digerakkan menjadi destinasi penyumberluaran pilihan pelanggan – khususnya dari negara berekonomi tinggi.
Keupayaan sektor ini dilihat mampu menyumbang kepada peningkatan nilai eksport perkhidmatan kita serta meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia – sekaligus memperkukuh kedudukan industri kandungan kreatif sebagai penyumbang signfikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kita.
Ini juga memperkukuh kepentingan dan signifikan industri ini kepada ekonomi negara – setidaknya di mata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melihat lebih serius kepada potensi industri ini. Dari itu, kelangsungan dan relevannya industri ini dapat kita jangkakan menjadi semakin baik.
Kita perlu meyakinkan para pelanggan berpotensi ini bahawa kita mempunyai tenaga kerja terlatih yang mampu menghasilkan penerbitan mengikut kehendak mereka dengan bagus – pada kadar yang kompetitif. Untuk itu, berbalik kepada topik awal, akreditasi dilihat sebagai pendekatan paling sesuai dan berkesan.
Kita mengharapkan segala usaha yang dirangka berkaitan akreditasi dalam kandungan kreatif Malaysia dirangka berpaksikan matlamat dan manfaat yang mahu dicapai dalam jangka masa panjang - terutama pelaksanaannya. Ia tidak seharusnya menjadi usaha bermusim.
Akreditasi merupakan proses penting dalam membina ekosistem industri untuk jangka masa panjang – dan tidak sepatutnya jika kita mahu mencapai hasrat itu dengan dasar industri mengenai akreditasi ini yang kerap berubah-ubah.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
BACA ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA :
POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek
ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF