Potensi besar untuk penerbit kandungan di Borneo | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 19 Mar 2021 08:15 AM

POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO

 

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, saya berkesempatan ke pasar-pasar filem dan kandungan di pelbagai negara. Antaranya Indonesia Film Market di Jakarta,  Content Tokyo di Jepun, MIPCOM di Perancis dan banyak lagi.

 

Penyertaan saya tersebut membuka mata saya terhadap potensi kandungan bertema Borneo yang mempunyai tempat dan permintaan yang baik dalam pasar antarabangsa; khususnya bagi kandungan berbentuk faktual seperti dokumentari.

 

Secara kebetulan sejak beberapa tahun lalu – tepatnya tahun 2016 - saya bersama beberapa kenalan perlahan-lahan telah mula mengusahakan Borneo Creative Content Incubator Centre (BCCIC). Antara fokus utama pastinya adalah pembangunan bakat kandungan kreatif di Borneo; merangkumi bukan sahaja Sabah, Sarawak dan Labuan, tetapi juga Brunei hingga ke Kalimantan, Indonesia.

 

kreatif

 

Dalam dekad terakhir ini, Borneo sering menjadi tumpuan para penerbit – khususnya kandungan faktual - untuk mengangkat pulau ini sebagai subjek dalam hasil penerbitan mereka, termasuklah para penerbit dari luar negara dan Eropah. Ini pastinya dipengaruhi oleh kepelbagaian dan keunikan budaya Borneo yang dilihat mereka sebagai eksotik dan berbeza.

 

Selain daripada menyediakan `bahan` dan menjadi subjek kepada penerbit luar negara, BCCIC cuba melihat bahawa Borneo lebih dari sekadar itu.

 

Kami melihat bahawa Borneo juga adalah pasaran industri kandungan kreatif yang berpotensi. Dengan mengeplotasi sebaiknya kekayaan cerita dan kisah dalam masyarakat setempat, Borneo mampu untuk membangunkan industri kandungan domestiknya dengan lebih baik – dalam usaha menjadikan industri kandungan kreatif sebagai sektor penting pemacu ekonomi yang signifikan dan berimpak tinggi bagi wilayah ini.

 

Sebagai pulau ketiga terbesar di dunia, merangkumi tiga buah negara dengan populasi lebih 21 juta penduduk; Borneo sebenarnya adalah pasaran yang sangat besar untuk diambil peluang terutamanya oleh penerbit tempatan.

 

Dalam konteks dunia penyiaran di Borneo, ia mempunyai rangkaian stesen televisyen tempatan (wilayah) tersendiri yang berpotensi untuk dimanfaatkan sebaiknya oleh penerbit tempatan.

 

Di wilayah Kalimantan – stesen televisyen TVRI – iaitu saluran milik kerajaan Indonesia mempunyai empat saluran wilayah yang bersiaran di lima wilayah Kalimantan – TVRI Kalbar (Kalimantan Barat) , TVRI Kaltim (Kalimantan Timur & Utara), TVRI Kalsel (Kalimantan Selatan), dan TVRI Kalteng (Kalimantan Tengah).

 

Brunei pula mempunyai tiga saluran melalui Radio Televisyen Brunei – RTB Perdana, RTB Aneka dan RTB Sukmaindera.

 

Terbaharu, negeri Sarawak tampil dengan saluran televisyennya – TVS – yang dikendalikan agensi kerajaan negeri; Sarawak Media Group (SMG). Ini memperlihatkan optimisme pihak kerajaan terhadap sektor ini.

 

Oleh itu, penerbit tempatan harus mengambil peluang dengan berusaha memperluaskan peluang perniagaan silang negara sesama tiga wilayah di Borneo ini.

 

Contohnya, atas kapasiti dan sentimen sesama Borneo, syarikat penerbitan di Kuching boleh menjalin kerjasama dengan penerbit di Kalimantan untuk program siaran TVRI di Kalimantan; yang kemudiannya berpotensi untuk memudahkan akses memasuki pasaran seluruh Indonesia yang sangat besar.

 

Penerbit di Sabah pula contohnya, boleh meneroka potensi kerjasama dengan pelabur dari Brunei yang mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersama membangunkan kandungan mengenai Semporna yang terkenal seluruh dunia dengan kekayaan dasar lautnya.

 

kreatif

 

Pengumuman negara Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur juga merupakan sesuatu yang perlu disambut oleh penerbit di Malaysia dan Brunei dengan mula membuat pelan jangka panjang dalam memanfaatkannya.

 

Jika dirangka dengan baik, ada kemungkinan peluang penerbit dari Sabah dan Sarawak untuk meluaskan pasaran ke sana lebih baik berbanding penerbit dari Jakarta; atas pelbagai faktor seperti faktor geografi yang lebih berdekatan dengan Kalimantan berbanding Pulau Jawa.

 

Berbalik kepada BCCIC, sebagai organisasi bebas dengan sumber dan pembiayaan terhad, kami bergerak sedikit demi sedikit mengikut kemampuan semasa.

 

Setelah beberapa tahun membuat pemerhatian, kami mula mengalihkan tumpuan dari pembangunan bakat secara umum kepada usaha melahirkan penerbit dengan pengetahuan sifat industri dan attitude yang ideal bagi menggerakkan perniagaan dalam bidang kandungan kreatif yang berteraskan harta intelek (IP) ini.

 

Melahirkan penerbit yang bagus dilihat penting untuk pembangunan sektor ini di Borneo.

 

Pemerhatian sebelum ini menemukan kami dengan kenyataan bahawa sekian ramai mahasiswa dari Sabah dan Sarawak menuntut ilmu dalam bidang perfileman di pelbagai tempat termasuk IPT di seluruh negara.

 

Namun kebanyakannya terpaksa bekerja di Semenanjung, atau pulang ke Borneo tetapi terpaksa menceburi bidang pekerjaan lain atas faktor tiada peluang pekerjaaan kerana kurangnya permintaan dalam sektor ini di Borneo. Situasi ini sebenarnya sangat merugikan kepada Borneo.

 

kreatif

 

Usaha Sarawak Media Group melalui penubuhan TVS dengan membuka peluang penerbitan kepada penggiat Sarawak amat baik dalam melahirkan pasaran pekerjaan kepada penggiat Sarawak.

 

Namun, apabila kita meramaikan penerbit yang berkualiti, mereka ini tidak akan sekadar menanti atau menunggu peluang dari satu sumber yang ada (contohnya dari TVS), tetapi akan menjadikan ia sebagai satu pencetus dan permulaan untuk membuktikan kebolehan lalu seterusnya membuka dan mencipta peluang dengan meneroka potensi perniagaan yang lebih luas - tidak kira dari pasaran tempatan mahupun luar negara.

 

Mereka seterusnya secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para pembikin dan pekerja dalam bidang ini di Borneo – lalu membentuk kelangsungan dan kestabilan dalam ekosistem kerjaya di sektor ini.

 

Contoh lain tentang kepentingan melahirkan penerbit yang berkualiti ini adalah bagaimana penerbit dari Sabah contohnya boleh memanfaatkan insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat luar pesisir (offshore company) yang berdaftar di Labuan melalui Labuan Financial Service Authoriy (LFSA) dalam menarik pelaburan kepada industri kreatif di Borneo.

 

Jarak yang dekat serta kekerapan penerbangan langsung yang tinggi (sebelum pandemik dan diharapkan kembali pulih pasca pandemik nanti) antara Sabah dengan Korea Selatan, Jepun, China dan Filipina – empat kuasa besar perfileman Asia - juga sebenarnya perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh penerbit dari Borneo.

 

Mungkin juga para penerbit dari Borneo juga boleh mengusahakan satu trip misi perdagangan (trade mission) khusus membawa kandungan `Made in Borneo` ke negara berpotensi dalam memperluas pasaran (sekaligus meluaskan peluang pekerjaan kepada penggiat tempatan) melalui sokongan Marketing Development Grant (MDG) dari MATRADE.

 

kreatif

 

Industri kandungan kreatif adalah satu ekosistem, yang mana dalam membangunkannya - setiap peringkat dalam ekosistem itu harus diberikan perhatian. Pembangunan bakat tidak harus hanya tertumpu kepada bidang penerbitan, tetapi juga aspek lain dalam ekosistem terbabit termasuklah contohnya pengedaran, pemasaran, pelaburan, kewangan, A&P, dan sebagainya.

 

Bagi sesetengah orang, mungkin melihat masih banyak yang belum dilakukan di Borneo. Namun bagi seorang penerbit tempatan seharusnya melihat kekurangan itu sebenarnya adalah satu kelebihan. Banyak perkara yang belum dilakukan – ia membawa maksud bahawa masih banyak perkara yang boleh dilakukan dan diusahakan – untuk menjadi antara pemain utama di wilayah ini.

 

Sayang sekiranya kekuatan dan daya komersial yang dimiliki kandungan bertema Borneo tidak diambil kesempatan oleh penerbit tempatan di Borneo. Inilah masa Borneo untuk menjadi jaguh di buminya sendiri.

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF