2 langkah tangani impak pengurangan pekerja asing sektor perladangan | DagangNews Skip to main content

2 langkah tangani impak pengurangan pekerja asing sektor perladangan

pengurangan pekerja asing sektor perladangan

KUALA LUMPUR 2 Dis - Masalah pengurangan pekerja asing susulan pandemik COVID-19 dalam sektor perladangan dikhuatiri menjejaskan prestasi industri komoditi negara.

 

Menyedari hakikat itu, kerajaan memperkenalkan dua langkah penyelesaian bagi membendung impak besar akibat daripada pengurangan pekerja asing berkenaan.

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindahkan atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja melalui Permohonan Pertukaran Majikan (PTM).

 

Bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021 pula, kerajaan telah melancarkan Pelan Kalibrasi Semula Pendatang Asing Tanpa Izin yang merangkumi dua komponen utama program khas iaitu Program Kalibrasi Semula Pulang dan Program Kalibrasi Semula Tenaga Kerja.

 

Wee Jeck Seng
Wee Jeck Seng

 


Program Kalibrasi Semula Pulang

  • Program yang membenarkan pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat tertentu yang ditetapkan.

 


Program Kalibrasi Semula Tenaga Kerja

  • Program khas untuk membenarkan penyertaan pendatang asing tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan.

 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) di Dewan Rakyat hari ini, seperti dilapor Bernama.

 

Jawapan tersebut diberikan setelah Shaharizukirnain meminta beliau untuk menyatakan mekanisma perancangan kementerian bagi menangani impak besar pengurangan pekerja asing dalam sektor perladangan.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi.

 

Usaha tersebut adalah termasuk mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk Orang Asli bekerja di sektor berkenaan.

 

Beliau berkata, KPPK akan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk Orang Asli untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

 

“KPPK juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi agak kritikal dan dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri komoditi negara," ujar beliau lagi. - DagangNews.com