Malaysia perlu tangani cabaran pendidikan awal dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik - Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu tangani cabaran pendidikan awal dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik - Bank Dunia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Bank Dunia menyatakan bahawa masih terdapat ruang untuk diperbaiki di dalam sistem pendidikan Malaysia, khususnya dalam menangani cabaran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik.

 

Menurut Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia ke-29 pada April 2024 yang bertajuk 'Melentur Buluh: Meperkukuh Kemahiran Asas', pelajar terutamanya mereka di dalam pendidikan awal kanak-kanak sering kekurangan kemahiran kesediaan sekolah. 

 

Kekurangan itu membawa mereka kepada cabaran untuk membaca, menulis dan matematik sepanjang persekolahan mereka.

 

"Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah menghadiri pusat pendidikan awal kanak-kanak dan menunjukkan prestasi yang baik pada petunjuk kesediaan sekolah, namun kira-kira 24% masih kurang kemahiran kesediaan sekolah," kata laporan itu, sambil menambah bahawa kebanyakan mereka adalah daripada keluarga berpendapatan rendah.

 

Bank Dunia berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan telah melakukan pelbagai inisiatif seperti Program Bantuan Membaca dan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah.

 

Bagaimanapun, terdapat banyak usaha perlu dilakukan bagi menangani cabaran ini kerana jurang pendidikan itu masih wujud.

 

Sekiranya isu jurang pendidikan tidak ditangani dengan betul, aspirasi Malaysia untuk berada dalam kelompok tiga teratas Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) mungkin mencabar.

 

PISA merujuk kepada kajian sedunia oleh Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi yang mengukur bacaan, matematik dan literasi sains pelajar berumur 15 tahun. 

 

Pada 2023, skor PISA Malaysia ialah 404, berbanding 431 pada 2018 dan 440 pada 2015.

 

Bank Dunia berkata, Malaysia berjaya naik ke tempat kelompok tiga pertengahan pada PISA 2018, tetapi ia jatuh semula ke kelompok ketiga terbawah dalam PISA 2022.

 

Dalam menangani cabaran tersebut, Bank Dunia mencadangkan agar Malaysia memberi permulaan awal kepada semua kanak-kanak dengan menyediakan pendidikan prasekolah yang boleh diakses, saksama dan berkualiti, dengan sekurang-kurangnya satu tahun pendidikan prasekolah percuma dan wajib untuk kanak-kanak.

 

Bank Dunia juga mengesyorkan kerajaan mengadakan program latihan untuk guru seperti mentor, rancangan pengajaran berstruktur, pengajaran bersasar, pendidikan dan teknologi bagi meningkatkan kualiti prestasi pengajaran mereka.

 

Ia kerana ramai guru kekurangan latihan yang boleh menjejaskan perkembangan pembelajaran pelajar secara langsung.

 

Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai disiplin guru, kerana hampir 40% kanak-kanak di Malaysia melaporkan bahawa guru mereka kerap tidak hadir di sekolah.- DagangNews.com