BPMB, ACSB meterai kemudahan pembiayaan RM75 juta projek klinik pakar dan wad di Hospital Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

BPMB, ACSB meterai kemudahan pembiayaan RM75 juta projek klinik pakar dan wad di Hospital Pulau Pinang

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Nov - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Aim Concept Sdn Bhd (ACSB) menandatangani kemudahan pembiayaan berjumlah RM75 juta untuk memulakan projek bernilai RM428 juta bagi klinik pakar dan blok wad di Hospital Pulau Pinang.

 

Projek itu merangkumi kemudahan dengan 216 katil dan 15 tingkat yang dilengkapi dengan klinik dan wad untuk kardiotorasik, neurosurgeri, oftalmologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), unit rawatan rapi serta bilik pembedahan canggih yang dilengkapi peralatan robotik. 

 

Ia dijangka mencipta 2,100 peluang pekerjaan, menangani kekurangan dalam penjagaan pakar, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti dan tepat pada masanya.

 

Pembiayaan berkenaan mencerminkan tujuan BPMB untuk menyediakan modal impak bagi pembangunan negara. 

 

Penilaian pembiayaan dilakukan melalui kerangka Mengukur Impak terhadap Pembangunan Negara (MIND) BPMB, memastikan kesesuaian dengan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Kerajaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, BPMB telah memperjuangkan penyertaan ekonomi Bumiputera sejak penubuhannya pada tahun 1973, dengan ACSB sebagai contoh, yang telah menyahut seruan inisiatif PuTERA35.

 

"Ini adalah satu lagi contoh sokongan dan kerjasama ekosistem DFI dalam memperkuat mandat keseluruhan kami, dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga syarikat besar yang sangat kompetitif. 

 

"Melalui ekosistem DFI, terdapat kesinambungan sokongan dan modal bagi pembangunan usahawan Bumiputera ke peringkat pertumbuhan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan ACSB, Datuk Abd Rahim Jaafar menyifatkan, syarikat telah menghadapi banyak krisis kewangan sejak 1997, tetapi kini dengan BPMB, ia bersedia untuk membina masa depan yang lebih cerah dan berdaya tahan.

 

"Kolaborasi ini mewakili gabungan cita-cita, inovasi dan motivasi. Saya berharap, bersama BPMB, kita dapat pergi jauh bersama," katanya. - DagangNews.com