KUALA LUMPUR 18 Jan - Bank Islam Malaysia Bhd menyasarkan 800 pengguna Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard World Premier Wealth yang baru dilancarkannya pada tahun ini.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Muttalib berkata, produk baharu itu direka khusus bagi memenuhi cita rasa pelangan mewah bank itu dengan kad kredit eksklusif yang diterima melalui jemputan itu menyediakan gabungan unik keistimewaan serta manfaat yang kompetitif.
"Kad ini direka khas untuk pelanggan dengan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak RM250,000.
"Dengan itu, mereka akan layak menjadi pelanggan Premier Wealth," katanya semasa majlis pelancaran kad itu di Boathouse by the lake di Tasik Ampang, semalam.
Beliau berkata, sebagai penghargaan kepada pelanggan mewah mereka, bank itu menyediakan ganjaran 5,000 mata Enrich kepada 200 pelanggan terawal yang memohon dan membuat perbelanjaan bernilai minimum RM500 sebelum 31 Mac 2025.
Katanya, kad itu direka untuk meningkatkan gaya hidup pelanggan mewah mereka, meliputi pengecualian yuran tahunan seumur hidup hingga ganjaran TruPoints yang menarik.
"Pemegang kad boleh menikmati pelbagai manfaat eksklusif termasuk lima kali akses di lebih 200 ruang istirahat Plaza Premium di 37 negara di seluruh dunia setiap tahun.
"Pemegang kad juga akan disediakan dengan perlindungan kemalangan perjalanan sehingga RM2 juta, perlindungan Takaful Keluarga bernilai sehingga RM100,000 dan tiada caj kompaun kewangan.
"Bank Islam juga menawarkan ganjaran kesetiaan TruPoints yang menarik iaitu tiga kali TruPoints bagi transaksi tanpa sentuh dan petrol, dua kali TruPoints untuk perbelanjaan di kedai fizikal di luar negara dan RM1 tanpa had = 1 TruPoints untuk sebarang perbelanjaan runcit.
Pemegang kad juga boleh menggunakan mata TruPoints terkumpul untuk sebarang pembelian mudah dan pantas di lebih 100 juta peniaga yang menerima Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia melalui aplikasi mudah alih Pay with Rewards, platform mudah digunakan bagi menjejaki ganjaran dan menguruskan pilihan pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Perbankan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram, berkata, phaknya komited untuk menyediakan rumusan kewangan patuh syariah komprehensif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.
"Kad Kredit-i Bank Islam Mastercard World Premier Wealth mencerminkan komitmen kami terhadap perkhidmatan unggul dan sokongan berterusan dalam menyokong perjalanan kewangan pelanggan," katanya. - DagangNews.com