Elridge Energy dikelaskan semula di bawah subsektor RE Bursa Malaysia, yakin tarik lebih ramai pelabur antarabangsa dan domestik | DagangNews Skip to main content

Elridge Energy dikelaskan semula di bawah subsektor RE Bursa Malaysia, yakin tarik lebih ramai pelabur antarabangsa dan domestik

Gambar hiasan dari laman web rasmi Elridge Energy Holdings
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Elridge Energy Holdings Bhd telah diklasifikasikan semula di bawah subsektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Bursa Malaysia yang baharu diperkenalkan dalam sektor tenaga dan utiliti berkuat kuasa pada 13 Januari 2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Elridge Energy berkata, langkah pengelasan semula ini akan mencerminkan aktiviti perniagaan terasnya dengan lebih baik dan menarik lebih ramai pelabur daripada rangkaian syarikat tempatan dan antarabangsa.

 

"Langkah ini juga boleh meningkatkan keterlihatan syarikat sambil menawarkan pelabur peluang memanfaatkan permintaan  global terhadap rumusan tenaga bersih yang semakin meningkat," katanya.

 

Melalui anak syarikatnya Bio Eneco Sdn Bhd, Elridge Energy telah memantapkan dirinya sebagai pemain dalam pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, iaitu cengkerang isirong sawit dan pelet kayu.

 

Sumber tenaga boleh diperbaharui ini penting untuk penjanaan elektrik di loji janakuasa dan sebagai bahan api dalam dandang industri, memainkan peranan penting dalam mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo, berkata, pengelasan semula di Bursa Malaysia menyediakan kelas yang lebih tepat dan relevan bagi syarikat tersenarai awam. 

 

"Pengelasan ini juga mampu membuka pintu baharu untuk perkongsian strategik sambil menarik pelabur institusi dan runcit yang arif yang mengutamakan saham syarikat yang mementingkat kelestarian," katanya. - DagangNews.com