Risiko terbesar Malaysia menjelang 2025, kemelesetan ekonomi dalam senarai teratas Kajian WEF | DagangNews Skip to main content

Risiko terbesar Malaysia menjelang 2025, kemelesetan ekonomi dalam senarai teratas Kajian WEF

KUALA LUMPUR 17 Jan - Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 yang dikeluarkan baru-baru ini menyenaraikan kemelesetan ekonomi sebagai kebimbangan terbesar yang bakal dihadapi rakyat Malaysia.

 

Pengarah Urusan WEF, Mirek Dušek berkata, Malaysia juga dilihat sebagai antara negara yang berisiko menjadi sasaran perdagangan Amerika Syarikat (AS), menekankan kepentingan pengurusan risiko strategik untuk memastikan daya tahan negara.

 

"Ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, keretakan kepercayaan global dan krisis iklim membebankan sistem global tidak seperti sebelum ini," katanya.

 

Beliau berkata, keperluan memupuk kerjasama bagi membina daya tahan, sambil memberi amaran negara berdepan risiko tinggi kerana krisis yang saling berkaitan menuntut tindakan yang perlu diselaraskan.

 

Laporan itu juga menekankan empat lagi kebimbangan utama rakyat Malaysia daripada tinjauannya:

  • Kekurangan tenaga kerja
  • Inflasi
  • Isu bekalan makanan
  • Pengangguran atau kekurangan peluang ekonomi

 

Laporan itu mengenal pasti konflik bersenjata berasaskan negara sebagai risiko global segera yang paling mendesak untuk 2025.

 

Hampir satu perempat daripada responden meletakkan ketegangan geopolitik sebagai kebimbangan utama mereka, menunjukkan pemecahan sistem global yang semakin meningkat.

 

Ketua Inisiatif Risiko Global di Forum Ekonomi Dunia, Mark Elsner menekankan keperluan untuk kerjasama yang diperbaharui.

 

"Dari konflik kepada perubahan iklim, kita menghadapi krisis yang saling berkaitan yang menuntut tindakan kolektif yang diselaraskan," katanya.

 

Laporan itu, berdasarkan tinjauan ke atas lebih 900 pakar dan penggubal dasar global, turut menamakan salah maklumat sebagai risiko jangka pendek yang berterusan, mengancam perpaduan masyarakat dan kepercayaan terhadap tadbir urus.

 

Risiko alam sekitar mendominasi pandangan jangka panjang, dengan cuaca ekstrem, kehilangan biodiversiti dan keruntuhan ekosistem antara kebimbangan utama. 

 

Ini ditambah lagi dengan risiko teknologi, termasuk cabaran yang ditimbulkan oleh kecerdasan buatan (AI).

 

Lebih separuh daripada responden menjangkakan ketidakstabilan dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan pemimpin global semakin pesimis tentang dekad yang akan datang. 

 

Laporan itu juga meramalkan cabaran yang semakin meningkat kepada kerjasama antarabangsa dan struktur tadbir urus.

 

Laporan itu adalah berdasarkan Tinjauan Persepsi Risiko Global (GRPS) yang melibatkan lebih 900 pakar merentasi akademik, perniagaan, kerajaan, organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil dijalankan antara 2 September dan 18 Oktober 2024. - DagangNews.com