Sedania catat hasil RM15.88 juta, naik 50% bagi 1QFY25 didorong industri barangan pengguna lestari | DagangNews Skip to main content

Sedania catat hasil RM15.88 juta, naik 50% bagi 1QFY25 didorong industri barangan pengguna lestari

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - Sedania Innovator Berhad mencatat hasil RM15.88 juta, mewakili pertumbuhan pendapatan 50% tahun ke tahun (YoY) bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) yang berakhir pada 30 September 2024. 

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen industri barangan pengguna cepat laris (FMCG) lestari syarikat yang disokong oleh inisiatif strategik dalam pertumbuhan jenama.

 

"Pertumbuhan pendapatan utama ini menunjukkan kejayaan strategi transformasi FMCG yang sedang dilaksanakan oleh Sedania.

 

"Pelaburan berterusan kumpulan dalam pembinaan jenama dan penempatan pasaran adalah penting untuk membina asas yang kukuh bagi kesedaran jenama jangka panjang yang mampan. Kami yakin dapat mencapai keuntungan positif bagi keseluruhan tahun kewangan 2025,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania Innovator Bhd, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pertumbuhan pendapatan kumpulan yang kukuh mencerminkan nilai strategik inisiatif transformasi. 

"Bersama dengan strategi berterusan yang telah kami laksanakan untuk pertumbuhan mantap segmen teknologi pengguna lestari dan tenaga lestari, ia adalah pemacu utama ke arah visi kami untuk mencapai pendapatan sembilan digit dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

 

Pengerusi baharu yang dilantik, Tun Md Raus Sharif, turut berkongsi pandangannya tentang pertumbuhan hasil kumpulan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kumpulan.

 

"Ini menunjukkan komitmen teguh Kumpulan untuk ‘Memperbaiki Kehidupan Secara Lestari’ (Improving Lives Sustainably) dan pertumbuhan, berserta model perniagaan inovatif, meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham kami," katanya.

 

Sementara itu, kumpulan itu berkata, ia akan terus meningkatkan pegangan pasaran dengan memanfaatkan peluang baharu di pasaran berpenduduk padat dan bermata wang tinggi.

 

"Dengan usaha berterusan dalam inovasi produk dan pengembangan strategik, trajektori pendapatan dijangka kekal optimistik bagi sepanjang tahun kewangan ini.

 

"Walaupun mengambil kira cabaran ekonomi dan keadaan kewangan kini, kami  tetap optimis namun berhati-hati dalam menyampaikan hasil positif bagi FY25 yang berakhir pada 30 Jun 2025," katanya.- DagangNews.com