KUALA LUMPUR 25 Nov - Penyedia bahan kimia bukan organik, TMK Chemical Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM385 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 Disember 2024.
Kumpulan akan mengumpul dana itu menerusi terbitan 220 juta saham baharu pada harga RM1.75 sen sesaham. Terbitan IPO itu tidak melibatkan sebarang tawaran penjualan saham sedia ada.
TMK Chemical memperuntukkan 23.4% daripada hasil untuk pembesaran Kilang Banting 1, manakala 12.9% akan digunakan untuk kos pembinaan kemudahan baharu.
Sebanyak 25.7% lagi dianggarkan untuk usaha pemerolehan dikenal pasti, dan 20.6% akan diperuntukkan untuk modal kerja.
Selain itu, 13.0% diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman, dan hasil selebihnya akan menampung perbelanjaan berkaitan IPO dan penyenaraian.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1 bilion saham dan harga saham RM1.75, permodalan pasaran berjumlah RM1.75 bilion.
Syarikat juga merancang untuk mengetepikan 30% hingga 50% daripada keuntungan selepas cukai sebagai dividen tahunan untuk pemegang saham.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan TMK Chemical, Wong Kin Wah berkata, pihaknya telah mengembangkan tawaran perkhidmatan kami untuk memasukkan perkhidmatan terminal kimia dan tahun ini, mereka mengambil langkah besar ke hadapan dengan menyepadukan perniagaan dalam pembuatan bahan kimia bukan organik.
"Memandangkan perniagaan kami telah berkembang, begitu juga jejak serantau kami, yang kini merentasi Malaysia, Singapura dan Vietnam.
"Sepanjang perjalanan ini, komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan kelas pertama tidak pernah goyah, membolehkan kami membina hubungan yang berpanjangan berdasarkan kepercayaan dengan pelanggan kami yang dihargai.
“Keputusan kami untuk meneruskan IPO ini didorong oleh visi masa depan yang jelas. Kami melihat peluang besar dalam sektor ini dan komited untuk memanfaatkannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maybank Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, pengumpul buku tunggal dan penaja jamin tunggal untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com