2 projek infrastruktur bernilai RM73 juta diluluskan di Kapit | DagangNews Skip to main content

2 projek infrastruktur bernilai RM73 juta diluluskan di Kapit

Kapit, Sarawak

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Dua projek infrastruktur bernilai RM73 juta diluluskan bagi pembangunan daerah Kapit.

Mengumumkan kelulusan projek berkenaan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan bertujuan untuk memantapkan lagi industri pelancongan dan keusahawanan di kawasan berkenaan.

"Sebuah pasar akan dibina dengan kemudahan yang lebih kondusif bagi menampung kapasiti pengunjung sekali gus membuka peluang buat penduduk Kapit menambah pendapatan.

"Kalau berniaga di tepi jalan sangat bahaya kerana banyak kenderaan yang lalu-lalang. Jadi kita buatkan pasar baharu dengan peruntukan RM15 juta," umum Abang Johari pada Ahad seperti dilapor Astro Awani.

Beliau turut meluluskan projek tapak warisan dan landskap untuk menaik taraf kawasan bersejarah di kawasan berkenaan seperti Kubu Sylvia.

Selain Kubu Sylvia, Muzium Kapit, Tokong Cina Hock Leong Tieng dan Tugu Teresang turut diistiharkan sebagai tapak warisan bersejarah di daerah berkenaan.

Ujar beliau, lebih RM50 juta diperlukan untuk menampung perbelanjaan bagi menyediakan tapak warisan yang baik.

Kelulusan peruntukan berjumlah RM73 juta itu juga susulan pembukaan jalan baharu dari Ngemah ke Song akses ke Kapit kini lebih mudah dan pantas. 

Dari Sibu, orang ramai kini boleh menggunakan jalan darat sepanjang 110 kilometer untuk ke bandar Kapit.

Dengan kemudahan ini, kemasukan orang ramai ke Kapit dijangka meningkat berkali ganda sekali gus memberi limpahan rezeki buat penduduk di kawasan berkenaan. - DagangNews.com