ViTrox berdepan risiko kekurangan tempahan bagi segmen MVSS pada 3Q kesan kelemahan pasaran | DagangNews Skip to main content

ViTrox berdepan risiko kekurangan tempahan bagi segmen MVSS pada 3Q kesan kelemahan pasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - ViTrox Corp Bhd berdepan risiko kekurangan tempahan bagi segmen sistem penglihatan mesin standard (MVSS) pada penghujung suku ketiga tahun ini kesan daripada kelemahan pasaran.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, bagaimanapun pertanyaan bagi modul sistem penglihatan dan pemeriksaan wafer meningkat dengan kebanyakannya bertukar menjadi pesanan.

 

Katanya, pesanan kini dibuat dengan masa yang lebih singkat antara dua hingga tiga minggu berbanding empat hingga enam minggu sebelumnya.

 

"Pengeluar peranti bersepadu (IDM) utama yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sedang berunding secara aktif bagi volum pengendali ujian yang berpotensi di seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan potensi 50 mesin untuk dihantar ke China pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 ViTrox susut kepada RM28.1 juta kesan perbelanjaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan

 

Terdahulu, hasil bagi 2QFY24 kumpulan itu menyusut 8.2% kepada RM137.2 juta berbanding RM149.4 juta pada 2QFY23.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24) juga menyusut kepada RM45.3 juta berbanding RM70.6 juta pada tahun sebelumnya didorong penurunan hasil kepada RM256.8 juta berbanding RM282.7 juta bagi 6MFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan MVS-T pada suku kedua 2024 melonjak 137% menyumbang 32% daripada keseluruhan jualan.

 

Katanya, ia merupakan pemacu pertumbuhan utama bagi kumpulan pada separuh pertama dan kumpulan itu dijangka untuk menghantar 35-45 unit pada 3Q24 dengan ramalan permintaan sebanyak 70 mesin dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

"China dijangka menyumbang lebih 80% daripada jualan suku ketiga tahun ini. ViTrox sedang memperkukuh jualan dan perkhidmatan perlindungan kepada pembekal utama HPC, memori dan RF terutamanya di China," katanya.

 

HLIB menyemak naik penarafan ViTrox daripada 'jual' kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.92 sesaham.- DagangNews.com