Nazri Khan cipta sejarah rakyat Malaysia pertama dinobat Juara Trader Dunia 2024 | DagangNews Skip to main content

Nazri Khan cipta sejarah rakyat Malaysia pertama dinobat Juara Trader Dunia 2024

Gambar/ FB Dato Dr. Nazri Khan

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pengurus Dana Bertauliah Berlesen Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan (DDNK) mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai Juara Trader Dunia 2024 di World Cup Trading Championship.

 

Pada pertandingan itu, beliau merekod pulangan sebanyak 302.5 peratus bagi suku pertama, 179.6 peratus untuk suku kedua dan 357.2 peratus pada suku ketiga.

 

Selain itu, beliau turut diiktiraf Malaysia Book Of Records sebagai individu pertama Malaysia yang menjadi juara perdagangan pasaran hadapan dunia pada 2024.

 

Menurut laporan The Sun, Nazri Khan berkata, pencapaian itu juga adalah bukti keberkesanan kerangka Ekonomi Digital selaras dengan Ekonomi Malaysia Madani yang menyokong pembangunan modal insan yang berintegriti, inovatif dan kompetitif di peringkat dunia.

 

Katanya, dengan kejayaan itu, beliau berhasrat untuk memberdayakan rakyat Malaysia menjadi trader yang berpengetahuan dan berketerampilan melalui sumber yang boleh dipercayai.

 

"Inisiatif ini juga bertujuan untuk membantu pekerja gig di Malaysia mencapai keselamatan kewangan," katanya selepas majlis penyerahan sijil Malaysia Book Of Records di sini, baru-baru ini.

 

Tambahnya, bukan mudah untuk bersaing menentang beberapa trader terbaik di dunia dalam pertandingan berisiko tinggi kerana ia memerlukan kemahiran luar biasa dan strategi yang betul.

 

"Dalam persekitaran pasaran yang berubah dengan cepat dan risiko yang berterusan, kejayaan saya didorong oleh analisis yang tepat dan pengetahuan mendalam tentang instrumen pelaburan," ujarnya.

 

Beliau seterusnya berkata, kemenangannya membuktikan bahawa pendekatan ekonomi berteraskan Malaysia Madani mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

 

"Ini juga mengangkat reputasi negara dalam melahirkan pedagang berkualiti tinggi dan mampu bersaing dalam pasaran global.

 

"Pengiktirafan ini inspirasi bagi golongan pedagang dan pelabur di Malaysia. Walaupun berdepan pesaing global yang sangat kompetitif, anak tempatan berpotensi untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dengan usaha gigih dan ketekunan," jelas beliau.

 

Nazri Khan berkata, melalui pencapaian luar biasa itu, beliau bukan sahaja meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga menonjolkan potensi sebenar negara dalam melahirkan individu berkualiti yang mampu mencapai kejayaan di arena dunia.

 

Katanya, dengan semangat dan visi selaras dengan prinsip Malaysia Madani, ia diharap akan terus memotivasikan rakyat Malaysia untuk terus maju dan merebut peluang demi kemajuan ekonomi dan nama baik negara. - DagangNews.com