MAHB berjaya terbitkan Sukuk Wakalah Kanan berjumlah RM1.6 bilion | DagangNews Skip to main content

MAHB berjaya terbitkan Sukuk Wakalah Kanan berjumlah RM1.6 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini mengumumkan kejayaan menetapkan harga dan menerbitkan Sukuk Wakalah Kanan ketiganya sebanyak RM1.6 bilion di bawah Program Sukuk Wakalah sehingga had agregat RM5 bilion dalam nilai nominal.

 

Permintaan pelabur yang menggalakkan menyebabkan kadar lebihan langganan lebih daripada 3.6 kali pada kemuncaknya. 

 

Tawaran tiga peringkat terdiri daripada sukuk RM400 juta 5 tahun, sukuk RM600 juta 7 tahun dan sukuk RM600 juta 10 tahun.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, terbitan sukuk itu adalah bukti keyakinan pelabur terhadap kumpulan.

 

"Ia mencerminkan daya tahan kami dan keupayaan kami untuk mengharungi cabaran sambil kekal fokus pada penciptaan nilai jangka panjang. 

 

"Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk menjadi penerbit tetap dalam pasaran modal hutang Malaysia bagi menyokong pertumbuhan dan keperluan operasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terbitan Sukuk menandakan kembalinya Malaysia Airports ke pasaran modal hutang sejak terbitan terakhir pada 2022 semasa pandemik COVID-19. 

 

Tawaran itu menarik pelbagai pangkalan pelabur dan menjana permintaan yang kukuh, mencapai buku pesanan puncak melebihi RM5.7 bilion, mewakili kedua-dua kadar lebihan langganan sebanyak 3.6 kali dan buku pesanan terbesar yang pernah dicapai MAHB berbanding terbitan Sukuk Wakalah Kanan terdahulunya. 

 

MAHB mengetatkan hasil tawarannya dan mencapai kadar keuntungan akhir 3.95%, 4.02% dan 4.08% setiap tahun, mewakili sebaran paling ketat yang pernah dicapai merentas tempoh masing-masing.

 

Sukuk Wakalah Kanan di bawah Program Sukuk Wakalah membawa penarafan kredit "AAA" dengan tinjauan yang stabil oleh RAM Rating Services Berhad.

 

Perolehan daripada Terbitan Sukuk akan digunakan MAHB bagi membiayai semula pinjaman matangnya pada kadar pembiayaan yang lebih rendah.

 

HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad merupakan pengurus utama bersama bagi Terbitan Sukuk.- DagangNews.com