200 pelajar UPM bantu mangsa banjir di Selangor | DagangNews Skip to main content

200 pelajar UPM bantu mangsa banjir di Selangor

 

SERDANG 24 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir terdiri daripada 200 pelajar ke lokasi banjir di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sg. Buluh, Selangor pada Khamis.

 

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut menyertai misi tersebut berkata, beliau berharap misi sukarelawan itu dicontohi oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan pelajar IPT bagi membangkitkan keprihatinan serta semangat kesukarelawan pelajar.

 

“Saya berbangga dengan semangat sukarelawan UPM dan kita harus membantu sedaya upaya kita dalam misi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut yang secara langsung dapat menggembirakan mereka yang terkesan dengan musibah banjir,” katanya.


 

UPM

 


Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, penglibatan pelajar UPM sebagai sukarelawan itu adalah selaras dengan hasrat Pelan Strategik UPM 2021-2025 pada Matlamat 1: Melahirkan watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.

 

“Penglibatan pelajar UPM dalam misi sukarelawan itu secara langsung akan memberi pendedahan kepada pelajar bagi memupuk sifat kepimpinan untuk berbakti serta mengukuhkan jaringan sosial terhadap masyarakat bagi nilai tambah dalam diri pelajar,” katanya.

 

Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang; Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, Nuruliman Ibrahim dan Felo Bersekutu (Perhubungan dan Kebajikan), Pejabat Naib Canselor UPM, Bukryman Sabri.

 

ARTIKEL BERKAITAN : UPM selaras misi bantuan kemanusiaan, optimumkan bantu mangsa banjir


 

UPM

 

UPM

 

UPM

 


Pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), UPM, Yohan Candra yang berasal dari Indonesia berkata, pengalaman beliau sebelum ini yang pernah menyertai misi kesukarelawan di Vietnam dapat diaplikasikan pada misi sukarelawan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN : Kementerian Pengajian Tinggi puji usaha UPM hantar misi sukarelawan bantu mangsa banjir

 

“Saya berminat untuk menyertai program kesukarelawan kerana saya berasa seronok untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang sangat memerlukan bantuan dan saya akan teruskan untuk ikuti program sebegini di masa akan datang,” katanya.


 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 


UPM turut mengalu-alukan sumbangan daripada warga UPM dan orang awam serta boleh menghubungi Sekretariat BOBB UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah atau En. Khairul Jusoh@Yusof di talian 03-97697505 untuk menyalurkan bantuan. - DagangNews.com