Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
SERDANG 24 Dis – Kementerian Pengajian Tinggi memuji inisiatif Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir terdiri daripada 200 pelajar ke lokasi banjir di di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sg. Buluh, Selangor.
Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berharap misi sukarelawan itu dicontohi oleh semua pihak terutamanya di kalangan pelajar IPT bagi membangkitkan keprihatinan serta semangat kesukarelawanan pelajar.
“Saya berbangga dengan semangat sukarelawan UPM dan kita harus membantu sedaya upaya kita dalam misi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut yang secara langsung dapat menggembirakan mereka yang terkesan dengan musibah banjir,” katanya.
Beliau turut menyertai misi UPM tersebut bagi menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas banjir di Selangor.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, penglibatan pelajar UPM sebagai sukarelawan itu adalah selaras dengan hasrat Pelan Strategik UPM 2021-2025 pada Matlamat 1: Melahirkan watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.
ARTIKEL BERKAITAN: 200 pelajar UPM bantu mangsa banjir di Selangor
“Penglibatan pelajar UPM dalam misi sukarelawan itu secara langsung akan memberi pendedahan kepada pelajar bagi memupuk sifat kepimpinan untuk berbakti serta mengukuhkan jaringan sosial terhadap masyarakat bagi nilai tambah dalam diri pelajar,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang; Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, Nuruliman Ibrahim dan Felo Bersekutu (Perhubungan dan Kebajikan), Pejabat Naib Canselor UPM, Bukryman Sabri.
UPM turut memberi sumbangan hasil keluaran iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan dari Pusat Pertanian Putra yang digunakan dalam penyediaan makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir.
Selain itu, Pusat Islam, UPM dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM telah berganding bahu mengatur satu inisiatif keprihatinan bagi membantu mangsa banjir dengan mewujudkan Program Dapur Rezeki @UPM yang dijangka akan terus beroperasi sehingga 26 Disember 2021 (Ahad).
Selain itu, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dengan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, dan Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) melancarkan misi kecemasan dan perubatan bagi membantu haiwan yang terkesan dengan banjir di kawasan Shah Alam, Selangor.
Misi itu telah bermula pada 21 Disember 2021 (Selasa) di lokasi paling terkesan di Shah Alam dan beroperasi dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Perkhidmatan rawatan haiwan itu adalah percuma dan disokong oleh doktor veterinar dari pelbagai agensi dan klinik.
Sumbangan makanan haiwan dan keperluan peralatan perubatan adalah disumbangkan dari pelbagai agensi dan syarikat seperti Petworld, Hill’s, Royal Kanin, KM Vet Pharm, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM,dan lain-lain rakan kerjasama.
UPM juga turut mengalu-alukan sumbangan daripada warga UPM dan orang awam serta boleh menghubungi Sekretariat Bilik Operasi Bantuan banjir (BOBB) UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah atau En. Khairul Jusoh@Yusof di talian 03-97697505 untuk menyalurkan bantuan.
Inisiatif ini adalah seiring dengan hala tuju Universiti merujuk kepada Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang menyokong penerapan nilai murni pada Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.
bersetuju untuk membenarkan tempoh bertenang terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam tempoh bencana banjir yang berkuat kuasa dari 23 Disember 2021 (Khamis) sehingga 26 Disember 2021 (Ahad).
Pelajar yang terjejas ekoran banjir dan memerlukan bantuan boleh memaklumkan kepada pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)/ Bahagian hal Ehwal pelajar (BHEP) / Pensyarah/Fakulti masing-masing. – DagangNews.com