200 stesen minyak Shell tawar perkhidmatan Touch ‘n Go RFID menjelang Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

200 stesen minyak Shell tawar perkhidmatan Touch ‘n Go RFID menjelang Disember 2022

Seow Lee Ming (kiri) dan Effendy Shahul Hamid menunjukkan terminal RFID untuk pembayaran minyak tanpa tunai
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Touch ‘n Go Group dan Shell Malaysia melancarkan secara rasmi pengalaman tanpa tunai baharu yang membolehkan para pelanggan membayar minyak menggunakan Touch ‘n Go RFID di 88 stesen minyak Shell di seluruh negara.

 

Jumlah stesen minyak Shell yang didayakan dengan pengalaman mengisi minyak tanpa tunai ini dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, mereka amat berbesar hati kerana dapat meluaskan penggunaan RFID selain daripada pembayaran tol. 

 

Beliau berkata, para pelanggan kini boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell tanpa perlu berinteraksi dengan sebarang aplikasi mudah alih kerana pembayaran dibuat melalui e-dompet Touch ‘n Go yang dipautkan kepada RFID pengguna.

 

“Kami amat bernasib baik kerana telah menemui rakan kongsi seperti Shell, yang berfikiran sama seperti kami, dan berkongsi cita-cita sama untuk menyediakan pengalaman pemanduan tanpa tunai dan tanpa sentuhan kepada para pelanggan. 

 

"Ini akan membantu kami membuka jalan ke arah menyampaikan tawaran yang lebih inovatif untuk kedua-dua set pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Effendy, setakat ini tumpuan diberikan untuk mempromosikan RFID sebagai kaedah pembayaran tol, tetapi sebenarnya gabungan infrastruktur RFID dan e-dompet membolehkan pengembangan penggunaannya melangkaui tol. 

 

 

shell
Laluan khas untuk pengguna yang mengisi minyak menggunakan RFID di stesen minyak Shell.

 

 

"Seperti yang telah kami tunjukkan hari ini, pengisian minyak merupakan kes penggunaan tambahan dan kami akan mengembangkan kes penggunaan RFID ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan," katanya.

 

Pengurus Besar Mobiliti untuk Shell di Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming pula berkata, pihaknya memulakan perkongsian ini dengan Touch ‘n Go untuk membangunkan kaedah pembayaran baharu yang menyediakan kemudahan tanpa tunai, menggunakan teknologi RFID dan tanpa aplikasi mudah alih. 

 

 

shell

 

 

"Kami juga telah menyepadukan RFID dengan rakan kongsi setia kami BonusLink, untuk membolehkan para pelanggan memperoleh mata ganjaran dengan mudah dengan setiap pembelian minyak.

 

“Sepanjang tahun lepas, kami telah menerima maklum balas positif daripada lebih 10,000 pengguna perintis dan kami bekerjasama rapat dengan Touch ‘n Go untuk terus mengoptimumkan teknologi ini untuk memberi pengalaman yang lebih lancar kepada pengguna. Kami yakin kolaborasi dengan Touch ‘n Go ini akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan kami di Shell," katanya.

 

Untuk menggunakan RFID di stesen minyak Shell, para pelanggan perlu pautkan tag RFID kepada akaun e-dompet Touch ‘n Go mereka. Pendaftaran dan pengaktifan perlu dilakukan sekali sahaja melalui e-dompet Touch ‘n Go dan setelah pengaktifan berjaya, pelanggan hanya perlu parkir kenderaan di ruang pengisian minyak yang didayakan dengan RFID. 

 

 

shell

 

 

Kenderaan akan dikesan dalam beberapa saat, dan pembayaran didebit secara automatik daripada e-dompet Touch n’ Go pelanggan untuk membolehkan pengisian minyak. Sebarang jumlah yang tidak digunakan akan dikembalikan serta-merta ke akaun e-dompet Touch 'n Go pelanggan.

 

Dari 10 Ogos hingga 16 September 2022, Shell dan Touch ‘n Go akan memberi ganjaran kepada 25,000 pelanggan pertama yang mengisi minyak di stesen Shell dengan menggunakan RFID. 

 

Mereka hanya perlu pam minimum RM50 di Shell untuk transaksi RFID pertama untuk menerima pulangan tunai sebanyak RM10. Ganjaran ini hanyalah terhad kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini buat pertama kali. - DagangNews.com