8  pakej rangsangan ekonomi, manfaatkan lebih 20 juta rakyat - PM | DagangNews Skip to main content

8  pakej rangsangan ekonomi, manfaatkan lebih 20 juta rakyat - PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pelaksanaan 8 pakej rangsangan ekonomi sejak menularnya wabak COVID-19 telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta premis serta entiti perniagaan. 

 

Pakej ransangan ini bermula dengan Prihatin diikuti Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Plus dan terkini Pemulih dengan nilai keseluruhan RM530 bilion.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, lebih RM200 bilion telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan.

 

Jelas beliau, kesemua pakej rangsangan itu dilaksanakan semata-mata untuk memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela. 

 

"Sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kami diuji dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang getir. Kami mempunyai pelbagai kekangan termasuk dari segi sumber manusia dan kewangan.

 

"Namun, kerajaan sedar bahawa dalam keadaan yang sukar ini, rakyat bergantung kepada keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada permasalahan yang dihadapi," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. 

 

Menurut Muhyiddin, agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama kerajaan yang bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.

 

Katanya, di bawah pakej terbaharu iaitu Pemulih, kerajaan akan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memperkenalkan Bantuan Khas COVID-19 (atau BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP). 

 

"Seperti yang semua sedia maklum, setiap bulan mulai Julai hingga Disember ini, kerajaan akan memastikan rakyat dalam kategori B40 akan dibantu dan kerajaan bercadang menyalurkan bantuan bernilai sebanyak RM10 bilion," tambahnya. 

 

Perdana Menteri berkata, semua pengumuman pakej rangsangan ini sebahagiannya telah dan akan dibiayai menggunakan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19). 

 

Jelasnya, Penubuhan KWC-19 adalah berlandaskan perundangan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 (Akta 830) yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

 

"Penjelasan lanjut berhubung kesemua pakej bantuan dan perbelanjaan di bawah KWC-19 ini akan diperincikan oleh Menteri Kewangan semasa sesi penerangan Pakej-pakej Bantuan Ekonomi pada 29 Julai nanti," katanya. - DagangNews.com