92% rakyat Malaysia setuju peraturan khusus diperlukan untuk produk vape | DagangNews Skip to main content

92% rakyat Malaysia setuju peraturan khusus diperlukan untuk produk vape

KUALA LUMPUR 13 Jan – Dalam satu tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, majoriti (92%) rakyat Malaysia bersetuju bahawa satu peraturan khusus untuk produk vape perlu dibangunkan sama seperti dasar di United Kingdom (UK) dan New Zealand di mana ia dikawal secara berbeza daripada rokok memandangkan vape didakwa kurang memudaratkan berbanding rokok.

 

Dalam kajian yang sama, 92% bersetuju bahawa kerajaan juga harus memastikan pasaran gelap produk vape berada pada tahap minima.

 

Pendedahan ini adalah hasil daripada tinjauan pendapat #Tax and Regulate MY Vape : Your Say yang dijalankan oleh sebuah kumpulan advokasi bukan bermotifkan keuntungan, Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) yang menyokong usahawan dan perniagaan vape tempatan.

 

Tinjauan pendapat itu dikendalikan oleh Green Zebras iaitu sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, “Industri vape semakin dilihat sebagai salah satu inovasi yang memberi kesan  kepada sektor tembakau kerana berjuta-juta perokok di seluruh dunia beralih kepada produk vape memandangkan produk vape terbukti sebagai alternatif yang kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.”

 

“Di Malaysia, industri tempatan bernilai lebih RM2 bilion dengan lebih 3,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan melibatkan kira-kira 15,000 pekerja.

 

''Sektor vape memerlukan undang-undang khusus yang berbeza daripada rokok tradisional.

 

''Ini akan membolehkan sektor vape memenuhi potensi pertumbuhannya dan membantu lebih ramai perokok Malaysia untuk berhenti merokok. MVIA percaya bahawa kerajaan Malaysia mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan industri vape tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Rizani Zakaria
                                                      RIZANI ZAKARIA

 

Berdasarkan keputusan tinjauan pendapat tersebut, rakyat Malaysia juga mengulangi sentimen ini, dengan 75% daripada mereka yang menyertai tinjauan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia mesti terlibat secara aktif dalam mengawal selia industri vape.

 

Berkongsi pandangan mereka mengenai bagaimana peraturan vape harus digubal, 85% daripada peserta berkata vape harus dipromosikan untuk meningkatkan kesedaran terhadap keberkesanannya sebagai alternatif yang kurang memudaratkan.

 

Menariknya, 68% mengatakan bahawa produk vape harus dijual dalam talian melalui platform e-dagang, asalkan kanak-kanak di bawah umur tidak mempunyai akses kepada produk tersebut.

 

Pelbagai kajian antarabangsa mendapati bahawa vape kurang memudaratkan. Penemuan ini telah mendorong negara seperti UK dan New Zealand untuk mempromosikan vape sebagai alat berhenti merokok.

 

Menurut tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan, kadar merokok telah menurun di Malaysia manakala penggunaan vape meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Keputusan tinjauan telah menunjukkan bahawa 85% rakyat Malaysia percaya bahawa penurunan kadar merokok ini dipengaruhi oleh faktor perokok yang beralih kepada vape. Manakala, 68% daripada mereka yang menyertai tinjauan berpendapat bahawa vape kurang memudaratkan berbanding rokok tradisional.


 

vape

 


Roazani berkata, negara seperti UK telah mencapai kemajuan dalam mengurangkan kelaziman merokok mereka dengan mengawal selia produk vape dan memastikan produk vape dikawal secara berbeza daripada rokok.

 

Menurutnya, langkah ini bukan sahaja menggalakkan perokok beralih kepada vape yang kurang memudaratkan, tetapi juga memberi peluang kepada pemain industri tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

''Malaysia harus melihat kejayaan undang-undang yang berkredibiliti seperti di UK apabila membangunkan dasar untuk pasaran vape tempatan kita. Seperti biasa, MVIA terbuka kepada sebarang perbincangan dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan perspektif kami,” tambah Rizani.

 

Dengan objektif untuk memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap vape, #Tax and Regulate MY Vape : Your Say menyelami pendapat penduduk tempatan tentang peraturan dan kadar cukai yang diumumkan baru-baru ini ke atas cecair vape. Penemuan tambahan daripada tinjauan itu akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang.

 

Tinjauan ini terdiri daripada saiz sampel 1,000 orang dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi semua orang dewasa Malaysia di seluruh negara. – DagangNews.com