9M20: Maybank Indonesia catat keuntungan bersih Rp 1.1 trilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Maybank Indonesia catat keuntungan bersih Rp 1.1 trilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

JAKARTA 26 Okt. – Keuntungan selepas cukai (PAT) dan faedah minority (PATAMI) Maybank Indonesia setakat 30 September 2020 tidak berubah berbanding tempoh sembilan bulan sebelumnya iaitu Rp 1.1 trilion.

Maybank dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengurusan kos yang berdisiplin, ditambah dengan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan syariah, dan peningkatan pendapatan berdasarkan yuran berulang membantu mengimbangi impak ketidaktentuan pasaran, gangguan dan pengurangan hutang akibat penularan COVID-19.

Pendapatan berdasarkan yuran Bank adalah 7.1% lebih rendah pada Rp 1.7 trilion pada bulan September 2020. Pada tahun sebelumnya, Bank memasukkan pendapatan satu kali dari penyelesaian penimbang tara domestik bernilai Rp 101 juta dan pendapatan berkaitan cukai bernilai Rp 68. 7 bilion.

“Oleh itu, pendapatan berdasarkan yuran berulang Bank selama sembilan bulan meningkat sebanyak 2.2% terutamanya dari yuran berkaitan Pasaran Global, bancassurance, pelaburan, dan e-saluran transaksi,” kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Maybank Indonesia terus menumpukan tranformasi digital untuk menambahbaik dan meningkatkan perkhidmatan perbankan digital.

Jelas Bank itu, walaupun masih pada peringkat awal, namun penambahbaikan awal dalam perkhidmatan perbankan digital mula menunjukkan hasil yang meyakinkan dari segi pemerolehan pelanggan dan angka serta jumlah transaksi.

“Transaksi monetari yang dijalankan menerusi aplikasi Maybank2U (M2U) meningkat 132% kepada 7.8 juta transaksi sepanjang suku pertama hingga suku ketiga 2020, manakala lebih 60,000 akaun simpanan/deposit dibuka dan lebih 76,000 akaun berdaftar untuk M2U.

“Seperti mana didepani pemain industri, Maybank Indonesia mencatatkan penurunan sebanyak 8.4% bagi Pendapatan Faedah Bersih kepada Rp 5.6 trilion yang didorong oleh baki dan hasil pinjaman lebih rendah akibat pengurangan kadar faedah serta impak daripada proses penstrukturan pinjaman bagi akaun yang terjejas akibat pandemik itu,” tambah Maybank Indonesia.

Dalam pada itu, Pengarah Presiden Maybank Indonesia, Taswin Zakaria berkata, penularan COVID-19 tidak dinafikan menjejaskan prestasi industri perbankan termasuk pihaknya.

“Prestasi kewangan ini menggambarkan keadaan mencabar yang dialami di mana langkah penting akan terus dilaksanakan untuk mengekang impak seterusnya terhadap keadaan semasa.

“Kami akan terus mengambil langkah proaktif untuk menangani impak pada masa akan datang ke dalam portfolio akibat pandemik ini dan dalam masa sama merebut peluang menerusi perkhidmatan perbankan digital yang kini mula menunjukkan hasil positif,” kata beliau. – DagangNews.com