4 ELEMEN PENTING MENCAPAI AZAM 2025 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 15 Jan 2025 07:00 AM

4 ELEMEN PENTING MENCAPAI AZAM 2025

Oleh Tn Hj Ariffin Sabirin

 

 

 

 

Agak lewat sebenarnya untuk saya bercerita tentang azam tahun baru 2025 memandangkan kita sudah pun dua minggu dalam bulan Januari pada hari ini.

 

Namun saya percaya tidak pernah terlewat untuk kita bangkit dari lamunan untuk memperbaiki diri sendiri. Proses memperbaiki diri sendiri ini boleh dilakukan pada bila-bila masa pun.

 

Di dalam fikiran, saya sentiasa sematkan bahawa hari ini mestilah lebih baik daripada semalam dan hari esok mestilah lebih baik daripada hari ini. Proses penambahbaikan diri ini saya buat pada setiap hari dan bukanlah pada setiap tahun.    

 

Cuma orang kita memang ada budaya suka menunggu dan berlengah dalam membuat apa sahaja tindakan. Kita sering memberikan diri kita sendiri alasan untuk berubah hanya apabila memasuki tahun baru. Pada ketika itulah kita menyenaraikan apa azam kita.

 

Azam yang pastinya paling popular ialah untuk mengurangkan berat badan!

 

Namun masalah kita paling besar ialah azam itu di sepanjang tahun 2025 bakal menjadi fatamorgana sahaja. Ia sesuatu yang kita impikan, yang di dalam fikiran mahu kita capai tetapi kita tidak mempunyai halatuju yang jelas.

 

Analoginya seperti kita berazam untuk menunaikan umrah tetapi kita tidak menyimpan wang untuk tujuan itu. Kita tiada perancangan secara tepat bila kita ingin ke sana. Kita tidak mempelajari ilmu-ilmu berkenaan ibadah umrah dan kita juga tidak bertindak mencari agensi umrah yang boleh membantu kita.

 

Tanpa perancangan yang jelas dan tindakan yang tuntas, azam menunaikan umrah itu hanyalah satu mimpi sahaja.

 

 

parafrasa

 

 

Saya memasuki tahun baru 2025 ini bukan dengan azam semata-mata tetapi dengan visi,  strategi pelaksanaan dan pemasaan yang jelas apa yang mahu dicapai pada tahun ini.

 

Dalam konteks peribadi untuk meningkatkan lagi tahap kesihatan diri, saya mahu bersenam dengan lebih kerap dan konsisten. Berlari minimum 6 km sehari sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan kadar pembakaran kalori minima 600 kalori sehari.

 

Saya juga telah dan akan bertindak untuk mendaftarkan diri di dalam sekurang-kurangnya 5 acara larian sepanjang 2025 dengan sasaran larian 10-15 km untuk setiap acara.  

 

Ketika ini kadar V02Max iaitu kecekapan badan saya memproses oksigen ialah 35. Saya mahu mencapai tahap 40 menjelang disember 2025. Lebih tinggi kadar ini bermakna badan kita boleh memproses oksigen dengan lebih cekap.  

 

Kadar purata kerehatan jantung (heart resting) saya pula ialah 50-69 dan saya mahu mencapai tahap 45 menjelang disember 2025. Semakin rendah pula kadar ini bermakna jantung lebih cekap kerana ia hanya perlu bekerja sedikit sahaja bagi mengepam darah ke seluruh badan kita.

 

Kedua-dua sasaran saya ini boleh dicapai melalui kaedah senaman berstrukur dan disiplin yang tinggi.   

 

Saya juga akan melakukan senaman latihan kekuatan (strength training) minimum 1 ½  jam sehari untuk baki 3 hari di dalam seminggu dengan kadar pembakaran kalori minimum 300 kalori sewaktu bersenam bagi membina otot.

 

 

wasiyyah

 

 

Bagi orang yang semakin tua seperti saya, pembinaan otot sangat penting kerana ia dapat membantu ketika proses penuaan.

 

Saya tidak mahu menjadi orang tua terlantar sakit yang terpaksa bergantung harap kepada anak-anak untuk menguruskan saya. Saya tahu memang anak-anak akan taat dan berbakti kepada kita kerana itu ialah tanggungjawab dan pahala mereka. Namun saya tahu ia juga merupakan bebanan yang sangat berat untuk mereka.

 

Banyak kes yang saya lihat di depan mata saya sendiri bagaimana pengurusan ibu bapa yang sakit terlantar menguji tahap kesabaran, hubungan keluarga malah pengurusan kewangan anak-anak juga.

 

Tidak ramai anak yang mampu meninggalkan segala-galanya di dalam hidup mereka semata-mata untuk berbakti menjaga ibu bapa yang terlantar sakit.    

 

Bagi mencapai sasaran pengurangan berat badan daripada 90kg ketika ini kepada 85 kg menjelang disember 2025 (saya telah turun daripada berat asal 136kg semenjak 28 bulan yang lepas), saya juga akan menitikberatkan kawalan pemakanan.

 

Elakkan makanan yang berlebihan terutama dari segi gula dan karbohidrat. Makan makanan yang berkhasiat atau ‘eat clean’.  

 

Para pembaca akan dapat melihat dari artikel ini bahawa saya sangat jelas apa yang saya mahukan dalam konteks pengurusan kesihatan saya pada tahun 2025 ini.

 

Saya mempunyai 4 elemen penting iaitu pemasaan (timing) yang spesifik, strategi yang jelas dan objektif yang tepat. Apa yang perlu saya lakukan seterusnya ialah memastikan saya mempunyai disiplin diri yang cukup tinggi bagi melaksanakannya.

 

Saya sesekali tidak akan bertangguh untuk bertindak. Mulai 1 Januari 2025 saya sudahpun ‘meloncat’ dan bergerak pantas untuk mencapai semua azam ini.

 

 

wasiyyah

 

 

Saya menyertai Twincity Marathon 2025 di Cyberjaya pada 12 Januari yang lepas. Walaupun saya hanya memasuki acara 12 km sahaja, namun saya mencatat masa peribadi (personal best) yang lebih baik berbanding larian Garmin 10km pada bulan Oktober 2024 yang lepas.

 

Stamina saya lebih baik dan keadaan lutut saya yang sakit apabila berlari sebelum ini juga semakin pulih.

 

Saya merancang untuk berlari sekitar 10-15km di dalam setiap acara larian pada tahun 2025 ini bagi membina diri dan meningkat kepada larian separuh marathon (half marathon) sejauh 22 km pada tahun 2026.  

 

Inilah yang saya maksudkan dengan peningkatan diri daripada tahun ke tahun.

 

Apa sahaja azam yang mahu kita capai mestilah didokong oleh 4 elemen ini. Jika tidak ia hanyalah satu azam yang akan bertukar menjadi angan-angan sahaja.

 

Pastikan juga bahawa azam 2025 ini jauh  lebih baik daripada azam 2024 supaya kita mendapat peningkatan diri yang lebih baik.

 

Jika azam 2024 ‘direcycle’ semula pada tahun 2025 hanya kerana alasan ia gagal dicapai, anda tidak akan melihat sebarang peningkatan diri. Maka daripada tahun ke tahun, anda akan terus duduk di tempat yang sama. Anda sudah mengorak langkah mencapai azam 2025 anda?

 

Jika belum maka mungkin anda boleh mempertimbangkan menggunakan 4 elemen ini.

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews