TRAILBLAZER
Life & Legacy | Abu Bakar Pahang
oleh YHM Tunku Dato Iskandar Dzulkarnain dan Ninot Aziz
DARI kota dunia silam Pura, yang dikenali sekarang sebagai Pekan, Pahang Darul Makmur mempunyai sejarah yang kaya dengan tradisi diraja.
Berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa dan diperkayakan dengan limpahan Sungai Pahang, Pahang yang disebutkan Negarakertagama merupakan salah satu negeri bersejatah yang penting di Alam Melayu selama berabad-abad.
Lokasi strategiknya di pantai timur hingga kepedalaman menjadikannya titik tumpuan untuk pertembungan sejarah dan kisah legenda.
Kepentingan sejarah Pahang boleh ditelusuri kembali ke zaman kerajaan Johor-Riau-Lingga, di mana pucuk pimpinan dikuasai Sultan, Yam Tuan Muda, Temenggong, dan Bendahara berkuasa.
Warisan kerajaan ini telah bersatu dengan empayar yang besar seperti Majapahit dan Ayuthaya, menarik perhatian kerana tanahnya yang subur dan sungainya yang besar, dipercayai tempat tinggal makhluk mitos seperti Naga.
Sebagai sebahagian daripada Aurea Chernosus, atau, Semenanjung Emas, Pahang merintangi laluan perdagangan antara Barat dan Timur Jauh, menjadikannya destinasi penting oleh kerana hasil perut bumi yang kaya seperti emas dan balak.
Kerajaan lama melambangkan ikatan yang berpanjangan antara pemerintah dan rakyat, mencerminkan nilai-nilai Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Sungai Pahang, satu sumber penghidupan bagi penduduk, membentuk cara hidup di negeri aman damai, dengan perikanan dan pelayaran menjadi kegiatan penting seharian.
Orang Pahang telah menguasai seni warisan dan penceritaan sepanjang sungai itu, bergantung kepada naluri dan pengetahuan tempatan mereka. Kepelbagaian hasil perut bumi di sungai menyokong komuniti di sepanjang tebingnya, menunjukkan hubungan kukuh antara penduduk Pahang dan alam semulajadi mereka.
Pada hari ini, Pahang berdiri sebagai saksi kepada warisan tradisi dan adab, diperintah oleh sultan yang menjunjung warisan lama. Selagi Sungai Pahang mengalir di bumi bertuah, semangat gigih dan perpaduan yang abadi menjadi jati diri Pahang Darul Makmur.
Dari sinilah bermulanya kisah seorang Sultan yang begitu disayangi rakyat jelata.
Kesultanan Pahang di era moden
Apabila berlaku peperangan saudara dalam Perang Bendahara antara Tun Ahmad dengan kekandanya, Bendahara Tun Mutahir, ia menjadi kunci kepada penubuhan Kesultanan Pahang.
Dalam saat genting, Tun Ahmad hampir tewas tetapi diselamatkan oleh bantuan Haji Mohd dan anaknya, Haji Yaakub. Mereka menyatakan sumpah setia kepada Tun Ahmad dan merancang untuk membawanya pulang ke Pahang.
Pada masa yang sama, Orang Kaya Maharaja Indera Perba Jelai Wan Ideris dari Kelantan juga berusaha meyakinkan Tun Ahmad untuk kembali ke Pahang.
Tun Ahmad berangkat dari Terengganu ke Pahang melalui Kuala Terengganu dan Kemaman dan selepas sumpah setia orang besar, perang sengit berlaku selama sepuluh bulan sehingga Pekan Lama ditawan pada 10 Jun 1863.
Selama tempoh tersebut, Tun Ahmad disokong pahlawan terkemuka Pahang seperti Tok Gajah, Haji Mohd, Hj Yaakub, Tok Bahaman, Tok Tunggal dari Bukit Segumpal dan lain-lain yang menzahirkan sumpah setia kepada Tun Ahmad.
Pahlawan Bukit Segumpal
Maka sekelian orang-orang besarnya pun bersiaplah dengan segeranya akan kenaikan perahu perangkatan itu dan berkerahlah segala rakyat (negeri) dan membawa hulubalang yang handal gagah lagi perkasa, dua orang yang masyhur pada ketika itu, tiadalah banding masyhur dan gagah perkasanya, namanya Datuk Parit dan Datuk Tangguk Bingkal Tembaga, dan banyaklah hulubalang yang dibawanya. Sudah lengkap sekaliannya, maka berangkatlah.
Hikayat Pahang
Melalui pertalian keluarga berkurun dahulu, kisah Kesultanan Pahang memang dekat di hati. Keluarga kami berasal dari Bukit Segumpal, Chenor dan Pekan Pahang.
Para pembesar tersohor pada masa itu, merupakan Datuk Parit dan Datuk Tangguk Bingkal Tembaga dari Bukit Segumpal. Dalam pertempuran yang berubah menjadi perang saudara di antara Bendahara Seri Wak Raja Tun Ahmad dengan kekandanya, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, bangsawan dari Chenor dan Bukit Segumpal memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah Pahang.
Che Long Lingga bonda pada Tun Ahmad merupakan adik kepada Panglima Tok Parit dari Bukit Segumpal. Panglima ternama Bukit Segumpal, Dato Setia Amar Segara Tok Tunggal, anak kepada Dato Setia Amar Segara Tok Ghafur, menikahi Tok Chenduk, anakanda Tok Parit dan anak saudara Che Long Lingga.
Pahlawan dari Chenor dan Bukit Segumpal memang memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah Pahang.
Oleh itu apabila dihubungi Tunku Dato Iskandar Dzulkarnain, yang merupakan cucunda Sultan Abdul Bakar dan seorang pengkaji sejarah, untuk menulis bersama buku biografi Sultan Abu Bakar, terasa satu tanggungjawab pada waris keluarga terdahulu.
Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Mu'azzam Shah
Pendekatan Sultan Abu Bakar dalam pentadbiran adalah begitu dekat di hati rakyat Pahang: Rakyat diutamakan. Komitmen teguhnya terhadap kesejahteraan rakyatnya merupakan ciri penting dalam perwatakan Almarhum.
Nenek dan ibu selalu menceritakan betapa Sultan Abu Bakar disayangi rakyat jelata. Di setiap sudut negeri, Sultan Abu Bakar mencerminkan nurani negeri. Sama ada melawan banjir, merasmikan sekolah, atau berdiri teguh pada peristiwa bersejarah Merdeka pada tahun 1957, Baginda adalah Pahang, dan Pahang adalah Baginda.
Tahun-tahun awal pemerintahan Sultan Abu Bakar dipenuhi dengan cabaran - sebuah negara yang baru berdiri, ancaman komunis, dan banjir 1970 paling mengerikan. Walaupun begitu, semangat yang tidak luntur dan hikmah asalnya membimbing Pahang ke arah kemakmuran.
Selain dari tugasnya sebagai pemerintah, Sultan Abu Bakar adalah seorang yang mempunyai pelbagai minat. Cintanya kepada sukan dan kuda terkenal, menjadikan beliau lebih disayangi oleh rakyatnya dan menambah lapisan kepada warisan beliau.
Pada hari ini, melalui penyelidikanu dan wawancara dengan mereka yang mengenali Baginda secara langsung, buku ini mengenang kehidupan dan warisan Baginda Sultan Abu Bakar. Jenama kepimpinan unik Sultan Abu Bakar melampaui zaman, memberikan contoh terbaik tentang perkhidmatan, kesungguhan, dan cinta terhadap tanah air.
Semoga peninggalan Sultan Abu Bakar terus membimbing kita, sama seperti semangat kental yang terus mengawasi negeri yang dicintai dengan sepenuh jiwa raga. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA