SP Setia diunjur menjana sebanyak RM750 juta hasil penyenaraian REIT - CGS International  | DagangNews Skip to main content

SP Setia diunjur menjana sebanyak RM750 juta hasil penyenaraian REIT - CGS International 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - SP Setia Bhd yang sebahagian besar sahamnya dipegang oleh Permodalan Nasional Bhd, melunaskan hutang bagi memulih kewangan kumpulan dengan menukar aset pendapatan berulang menjadi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT), kata CGS International.

 

“Kami menganggarkan penyenaraian REIT menjana hasil kira-kira RM600 juta hingga RM750 juta, menurunkan gearan kepada 0.32 kali menjelang akhir 2026.

 

"Inisiatif ini akan mengurangkan penggearannya, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan 2024 hingga 2026," katanya dalam satu nota penyeldikan. 

 

Pihak pengurusan menjangkakan penyenaraian REIT akan selesai pada 1Q26.

 

Kumpulan itu mempunyai dua lagi transaksi penjualan tanah, secara kolektif bernilai RM324 juta. 

 

Satu akan diiktiraf sebagai pendapatan bagi suku keempat 2024 (4Q24) dan satu lagi pada separuh pertama tahun ini.

 

Semasa acara Korporat Malaysia 2025 anjuran CGS International pada 8 Januari 2025, SP Setia yakin dapat melepasi sasaran jualan 2024nya sebanyak RM4.4 bilion, dengan RM3.2 bilion telah dicapai dalam sembilan bulan pertama 2024.

 

Walaupun masih menjangkakan jualan berdaya tahan daripada projek perbandaran, pengurusan pemaju meramalkan daya tarikan yang lebih kukuh untuk jualan hartanah industri tahun ini.

 

Ini akan didorong oleh pertumbuhan pesat daripada tiga projek perindustrian utama iaitu Setia Alaman, Tanjung Kupang dan Setia Fontaines dengan gabungan nilai pembangunan kasar RM14 bilion merentasi 416.42 hektar tanah.

 

Pihak pengurusan berkata, kira-kira RM600 juta jualan hartanah perindustrian dari Setia Alaman akan ditempah sebagai pendapatan tahun ini selepas mendapat tempahan pembangunan.

 

“Kumpulan itu juga dijangka mengumumkan beberapa projek baharu menerusi pelbagai usaha sama bagi memajukan Taman Perindustrian Tanjung Kupang di Johor.

 

“Walaupun taman perindustrian itu mungkin menghadapi cabaran daripada sekatan Amerika Syarikat ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI), kami percaya ia boleh diimbangi oleh permintaan kukuh hartanah perindustrian di Johor, didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” kata firma penyelidikan itu.

 

CGS International menaikkan unjuran pendapatan sesaham teras 2024 hingga 2026 SP Setia antara 1% dan 4% atas andaian jualan dan margin yang lebih tinggi serta asas saham yang diperbesarkan.

 

Berikutan semakan pendapatan, harga sasaran (TP) SP Setia juga dinaikkan kepada RM1.45 sesaham.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘tahan’ berdasarkan harga positif ditetapkan buat masa ini, seperti yang ditunjukkan oleh nisbah harga pendapatan 2025 sebanyak 20.9 kali, lebih tinggi daripada purata sektor biasa sebanyak 14.5 kali," katanya.  - DagangNews.com