Tiada pemangkin baharu pada 2025, RHB Research ramal jualan kenderaan mungkin lebih lemah | DagangNews Skip to main content

Tiada pemangkin baharu pada 2025, RHB Research ramal jualan kenderaan mungkin lebih lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif berkemungkinan besar lebih lemah pada tahun ini kesan daripada asas yang tinggi pada 2024, kata RHB Research. 

 

Katanya, tiada pemangkin baharu yang menarik untuk menyokong jualan kereta pada 2025 bagi menyamai paras sebelum ini.

 

"Kami berpendapat kemerosotan itu disebabkan terutamanya jenama bukan nasional, yang terus menghadapi persaingan yang semakin sengit daripada pendatang baharu, terutamanya pengeluar kereta China.

 

"Lambakan model baharu di dalam pasaran dengan diskaun harga yang tinggi mungkin mendorong pembeli menangguhkan pembelian dengan menjangkakan potongan harga selanjutnya daripada jenama sedia ada dan baharu bukan nasional, sekali gus menjejaskan kestabilan segmen bukan nasional," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, 2025 akan menyaksikan pasaran automotif yang lebih perlahan, memandangkan persaingan harga yang berterusan dalam segmen bukan nasional dan pesanan tertunggak yang semakin berkurangan, sementara ketidaktentuan mengenai cukai dan rasionalisasi subsidi petrol.

 

Walaupun 2024 mencatatkan keputusan kukuh, firma penyelidikan itu berkata, tunggakan pasaran utama seperti Perodua dan Toyota terus berkurangan.

 

Tunggakan tempahan Perodua kini berada pada 90,000 unit, daripada 128,000 unit pada Disember 2023, manakala Toyota menurun kepada 16,000 unit daripada 28,000 unit dalam tempoh yang sama, menandakan jumlah yang lebih lemah pada 2025.

 

RHB Research berkata, walaupun kenderaan elektrik (EV) tidak terlepas daripada persaingan dengan kemunculan model baharu, popularitinya tetap terhad.

 

Katanya, disebabkan penetapan harga, dengan binaan lengkap (CBU) tertakluk kepada paras harga RM100,000.

 

"Memandangkan EV CBU mungkin lebih mahal selepas 2025, kami berpendapat lonjakan dalam jumlah jualan EV mungkin dilihat tahun ini.

 

"Pilihan EV pasang siap (CKD) kekal terhad pada masa ini, kerana kebanyakan EV di jalan raya diimport dari China," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" untuk sektor automotif dan kekal berhati-hati dengan prospek 2025 berikutan persaingan harga yang berterusan dalam segmen bukan nasional dan pesanan tertunggak yang berkurangan. - DagangNews.com