TA Securities optimis terhadap prospek KIP REIT didorong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada | DagangNews Skip to main content

TA Securities optimis terhadap prospek KIP REIT didorong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - TA Securities optimis terhadap prospek KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) didorong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada, usaha pemajakan berterusan serta peningkatan strategi operasi.

 

Katanya, kumpulan itu komited terhadap pengurusan modal yang berdisiplin, bertujuan memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan tumpuan memperoleh aset akretif dan meneroka peluang pertumbuhan dalam sektor runcit dan perindustrian, pengurusan percaya REIT berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai nilai jangka panjang dan memanfaatkan peluang yang muncul.

 

"Kami positif mengenai inisiatif strategik KIP REIT, yang mencerminkan komitmen kukuh terhadap nilai pemegang kepentingan dan kemajuan ke arah sasaran pengembangan portfolionya sebanyak RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding RM1.4 bilion pada masa ini.

 

"Potensi pendapatan meningkat daripada penambahan aset baharu mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap prospek pertumbuhannya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, KIP REIT mencatatkan kenaikan 28.9% dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) untuk suku kedua berikutan prestasi pusat beli-belahnya yang lebih baik, disokong oleh aset runcit yang baru diperoleh, Cyberjaya mall D’Pulze dan TF Value pasar raya besar Perak.

 

NPI bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) meningkat kepada RM21.62 juta, daripada RM16.78 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil meningkat 32.7% kepada RM30 juta, berbanding RM22.61 juta pada 2QFY24, berikutan prestasi aset runcit dan penambahan aset yang lebih kukuh. Kadar penghunian portfolio runcit berada pada 97.1%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pertumbuhan hasil yang kukuh, keuntungan bersih teras 1HFY25 hanya meningkat 9% kepada RM23 juta, dipengaruhi peningkatan 32%  dalam perbelanjaan operasi, serta yuran pengurusan yang lebih tinggi dan kos pinjaman.

 

Katanya, kenaikan dalam kos pinjaman disebabkan pengeluaran pinjaman untuk membiayai pengambilalihan baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM1.15 sesaham," katanya. - DagangNews.com