KUALA LUMPUR 22 Jan - Terbitan tawaran awam permulaan (IPO) Northern Solar Holdings Bhd bagi orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 73.2 kali.
Syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) itu menerima 25,772 permohonan daripada orang awam Malaysia, mewakili langganan bagi 1.47 bilion saham daripada 67.3 juta saham tersedia bernilai RM924.59 juta.
“Saham bahagian Bumiputera terlebih langgan sebanyak 62.50 kali, selepas sejumlah 11,865 permohonan untuk 628.04 juta saham baharu diterima.
“Bagi saham ang diperuntukkan kepada bukan Bumiputera, kami menerima lebih 13,000 permohonan untuk 839.56 juta saham baharu, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 83.89 kali,” kata Northern Solar.
Katanya, IPO yang terlebih langgan itu termasuk permohonan 7.9 juta saham yang dimohon oleh Pengarah, pekerja dan penyumbang layak syarikat melalui borang merah jambu telah dilanggan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, dengan dana IPO, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan rancangan pengembangannya dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor RE solar.
“Dana ini juga akan menyokong pengembangan geografik syarikat di Wilayah Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah, serta mengembangkan pejabat sedia ada kami di Johor,” katanya.
Syarikat itu akan menerbitkan sebanyak 67.3 juta saham baharu pada 63 sen sesaham bagi mengumpul RM42.4 juta.
Katanya, pemegang saham sedia ada juga akan menjual 35.6 juta saham melalui penempatan persendirian.
Northern Solar dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Februari 2025, dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 395.6 juta saham dan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM249.2 juta.- DagangNews.com