KUALA LUMPUR 22 Jan - Projek perumahan teres setingkat pertama oleh Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) di Bandar Ainsdale, Arina, habis terjual sepenuhnya hanya beberapa jam selepas dilancarkan, baru-baru ini.
Rumah pegangan bebas itu yang ditawarkan sebanyak 118 unit dengan harga bermula RM420,888, memiliki keluasan binaan antara 1,010 hingga 1,138 kaki persegi.
Setiap unit dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi di atas tapak tanah 20’ x 70’, direka khas untuk keluarga dan pesara.
Projek tersebut mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM45.6 juta.
Arina dijadualkan siap pada Oktober 2026 dan akan menjadi sebahagian daripada kawasan baharu yang dilancarkan di Bandar Ainsdale, sebuah kawasan yang terkenal dengan ruang hijau dan lokasinya yang berhampiran dengan kemudahan-kemudahan utama.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar, Sime Darby Property, Appollo Leong Yong Kuan berkata, reaksi luar biasa terhadap Arina memperlihatkan permintaan berterusan untuk rumah yang berpatutan dengan gaya hidup moden masa kini di lokasi utama seperti Bandar Ainsdale.
"Rumah teres satu tingkat ini menggabungkan reka bentuk dengan ruang dalaman yang cerah, lapang dan reka bentuk terbuka, mencerminkan komitmen kami untuk mencipta rumah yang menyediakan ruang hidup berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Arina dilengkapi dengan pagar perimeter dan menawarkan perkhidmatan kawalan keselamatan selama 24 jam.
Ia juga memiliki 0.97 hektar kemudahan termasuk padang untuk berkelah, taman permainan, gim luar dan gelanggang serbaguna untuk bola keranjang, badminton dan sepak takraw.
Majlis pelancaran di Galeri Bandar Ainsdale pada 18 Januari 2025 menarik lebih 300 tetamu dan menampilkan aktiviti seperti persembahan gendang perayaan, tarian singa akrobatik dan permainan karnival. - DagangNews.com