Sektor teknologi Malaysia hadapi cabaran pelaburan susulan sekatan AS terhadap cip AI, kata Manulife | DagangNews Skip to main content

Sektor teknologi Malaysia hadapi cabaran pelaburan susulan sekatan AS terhadap cip AI, kata Manulife

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Jan - Sektor teknologi Malaysia mungkin menghadapi halangan pelaburan susulan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh kerajaan Amerika Syarikat.

 

Pengurus Portfolio Kanan Ekuiti Manulife Investment Management, Kenglin Tan berkata, sektor teknologi merupakan pendorong utama bagi pasaran tempatan apabila pelaburan asing melimpah untuk pembangunan pusat data.

 

"Bagaimanapun menjelang 2025, kami melihat beberapa halangan dalam pasaran, terutamanya dalam pelaburan di pusat data susulan dasar AS mengenai kawalan cip," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, untuk mengatasi isu itu, kerajaan akan campur tangan dengan pelan yang dapat memacu penggunaan domestik, terutama dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

 

Pentadbiran AS terdahulu di bawah Joe Biden mengeluarkan sekatan baharu terhadap eksport cip komputer yang dibangunkan di AS. 

 

Sekatan tersebut dilaksanakan hanya seminggu sebelum Biden meninggalkan jawatannya, sebagai usaha untuk menghalang pesaing negara itu daripada mendapat akses kepada teknologi canggih berkenaan.

 

Sementara itu, Manulife semasa taklimat maya Manulife Outlook Pelaburan Asia 2025, mengenal pasti peluang dalam pemotongan kadar faedah, pertumbuhan asia dan pelaburan tematik.

 

Pengurus Portfolio Kanan dan Ketua Pengagihan Aset Asia Manulife Investment Management, Luke Browne berkata, tahun 2025 sudah mula menunjukkan potensi yang menarik untuk pelaburan. 

 

"Tahun ini bakal menjadi tahun yang menarik untuk pelaburan kerana banyak negara maju akan mengurangkan kadar faedah. Pasaran sudah mula meramalkan pemotongan besar, tetapi ramalan itu kini lebih kecil. 

 

"Besar mana pemotongan faedah dan secepat mana ia berlaku bergantung kepada keadaan ekonomi, berapa lama inflasi bertahan dan sama ada akan ada risiko ketidakstabilan atau kenaikan inflasi lagi," ujarnya.

 

Landskap ekonomi global pada tahun 2025 dijangka dibentuk oleh kepimpinan baharu di AS yang mungkin membawa perubahan cukai korporat, penyesuaian dasar perdagangan dan inisiatif tenaga hijau. - DagangNews.com