KUALA LUMPUR 22 Jan - Untung bersih Zhulian Corporation Bhd pada tahun kewangan berakhir 30 November 2024 (FY24) menyusut kepada RM23.4 juta berbanding RM29.24 juta pada tahun sebelumnya kesan perbelanjaan pengguna yang lemah akibat tekanan inflasi.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh itu juga menyusut kepada RM126.2 juta berbanding RM132.4 juta pada FY23.
Katanya, hasil aktiviti operasi berjumlah RM20.8 juta, susut 27% daripada RM28.4 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Bahagian keuntungan syarikat bersekutu yang dikira ekuiti bagi tahun dalam tinjauan ialah RM11.7 juta mencatatkan peningkatan 36% disebabkan keuntungan yang lebih tinggi yang dicatatkan.
"Keuntungan sebelum cukai bagi tahun dalam tinjauan ialah RM32.6 juta, penurunan 12% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya sebanyak RM37 juta, hasil daripada keputusan yang lebih rendah daripada aktiviti operasi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, keuntungan bagi suku keempat berakhir 30 November 2024 (4QFY24) juga menyusut sedikit kepada RM6.67 juta berbanding RM6.75 juta disokong hasil sebanyak RM31.9 juta berbanding RM32.2 juta pada 4QFY23.
Kumpulan itu berkata, mereka akan terus berdepan prospek mencabar kesan tekanan inflasi yang menjejaskan keupayaan pengguna untuk berbelanja terutama bagi produk berharga premium.
Mereka memastikan kemampanan perniagaan dengan menumpukan pada meningkatkan program berpusatkan pemilik perniagaan Zhulian bagi merangsang permintaan, serta mengurus sumbernya secara berhemat dan meningkatkan kecekapan operasinya secara berterusan. - DagangNews.com