KUALA LUMPUR 22 Jan - RHB Islamic Bank Berhad (RHB) menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM133.5 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyokong pembangunan ladang solar 29.99 MW di Kulim, Kedah, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memajukan matlamat tenaga boleh diperbaharui Malaysia.
Pembiayaan itu diberikan kepada TNB Bukit Sidim Kulim Solar Sdn. Bhd., anak syarikat TNB Renewables Sdn. Bhd., di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) oleh kerajaan Malaysia.
Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Dato’ Adissadikin Ali berkata, perjanjian berkenaan menekankan peranan penting kerjasama strategik dalam mempercepatkan perubahan dan memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
"Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam pembiayaan Islam dan menawarkan rumusan pembiayaan mampan yang berdaya cipta seperti Kemudahan Pembiayaan Murabahah Term-i, kami mencipta nilai berpanjangan untuk pihak berkepentingan sambil menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah matlamat rendah karbon.
"Projek seperti ladang solar TNB Bukit Sidim Kulim menggambarkan visi bersama kami dalam memupuk pertumbuhan mampan, menguatkan daya tahan ekonomi, memberdayakan komuniti dan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang, katanya dalam satu kenyataan.
CGPP adalah inisiatif penting yang membolehkan pengguna korporat membeli tenaga solar secara maya daripada pemaju, mendorong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon sambil memupuk pertumbuhan mampan.
TNB Bukit Sidim Kulim Solar akan membekalkan tenaga bersih kepada SanDisk Storage Malaysia Sdn. Bhd. dan WD Media (Malaysia) Sdn. Bhd. di bawah Perjanjian Kuasa Hijau Korporat (CGPA), satu rangka kerja yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia sebagai sebahagian daripada Pengaturan Penghantaran Dipertingkatkan Baru (NEDA).
Kerjasama itu mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang antara RHB dan TNB.
Pada tahun 2023, kedua-dua organisasi tersebut memeterai perjanjian selama dua tahun untuk memacu penerimaan tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan pertubuhan kecil & sederhana (PKS), dengan menyediakan rumusan pembiayaan hijau yang disesuaikan untuk inisiatif hijau seperti sistem solar pada bumbung bangunan.
Berdasarkan komitmen berkenaan, RHB dan TNB sepanjang 2024 berkongsi kepakaran dan sokongan kepada perniagaan dalam menguna pakai teknologi tenaga cekap.
Sebagai peneraju dalam pembiayaan mampan, RHB menjadikan kelestarian sebagai pemacu utama strategi perniagaannya.
Kumpulan telah menggerakkan RM37.3 bilion dalam pembiayaan mampan setakat November 2024.
Inisiatif terbaharu kumpulan termasuk Jaminan Portfolio Malaysia untuk Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) dan Program Pembiayaan Perdagangan Mampan-I berjumlah RM1 bilion, yang menyokong projek-projek seperti tenaga boleh diperbaharui dan rumusan cekap tenaga.
Melalui Strategi dan Pelan Tindakan Kelestarian 5 Tahun, RHB berhasrat untuk memberdayakan pelanggan, perniagaan dan komuniti untuk beralih ke masa depan rendah karbon, seterusnya memberi kesan positif dari segi alam sekitar, ekonomi dan sosial.
Projek ladang solar itu merupakan satu langkah penting dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui Malaysia, yang menunjukkan kuasa kerjasama dalam membuka nilai dan mendorong perubahan mampan. - DagangNews.com