Tekanan inflasi dalam industri perabot dipercayai terus beri cabaran kepada Homeritz, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi dalam industri perabot dipercayai terus beri cabaran kepada Homeritz, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Homeritz Corporation Bhd dipercayai terus berdepan cabaran pada masa hadapan kesan tekanan inflasi berterusan yang memberi kesan kepada industri perabot secara keseluruhan termasuk di pasaran luar negara.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, kenaikan kadar gadai janji juga dilihat akan menjadi penghalang kepada peningkatan jualan rumah di Amerika Syarikat (AS) dan sekali gus menjejaskan jualan perabot kumpulan itu.

 

Katanya, walaupun kebakaran kilang di Muar, Johor mengakibatkan kumpulan itu kerugian RM3 juta namun ia sekali sahaja, dan akan dikecualikan daripada anggaran keuntungan bersih teras.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pendapatan Homeritz mungkin masih terjejas oleh pesanan tertunggak dan kos operasi tambahan lain yang timbul daripada insiden tersebut.

 

"Walaupun menghadapi cabaran jangka pendek, kami tetap optimistik tentang prospek jangka panjang kumpulan, didorong komitmennya dalam membangunkan produk baharu dan reka bentuk inovatif untuk memenuhi asas pelanggan yang lebih pelbagai, serta mengoptimumkan struktur kos," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, keuntungan bersih 1QFY25 Homeritz meningkat sebanyak 16% kepada RM10.5 juta didorong jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Selepas membuat pelarasan untuk item bukan teras, keuntungan bersih teras 1QFY25 kumpulan berjumlah RM9.2 juta, sejajar dengan anggaran dan konsensus masing-masing pada 28.3% dan 26.8% daripada ramalan tahun penuh.

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap keseluruhan industri perabot kerana tekanan inflasi yang berterusan dijangka menjejaskan permintaan pengguna dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) 62 sen sesaham. - DagangNews.com