TechStore lancar IPO di Pasaran ACE pada harga 20 sen sesaham bagi kumpul dana sebanyak RM30 juta  | DagangNews Skip to main content

TechStore lancar IPO di Pasaran ACE pada harga 20 sen sesaham bagi kumpul dana sebanyak RM30 juta 

Gambar hiasan dari laman web rasmi TechStore
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Penyedia perkakasan dan perisian, TechStore Bhd, melancarkan prospektus tawaran permulaan awam (IPO) di Pasaran ACE pada harga 20 sen sesaham bagi mengumpul dana sebanyak RM30 juta. 

 

Menurut prospektus itu, TechStore akan menjual 125 juta saham baharu dan 25 juta saham sedia ada.


 
Secara keseluruhannya, TechStore akan menawarkan pelabur 30% saham dalam syarikat. 

 

Permohonan IPO akan ditutup pada 4 Februari 2025, dengan syarikat itu dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada 18 Februari 2025.

 

TechStore menyediakan rumusan keselamatan dan automasi teknologi maklumat (IT), termasuk sistem arahan dan kawalan, sistem pengawasan seperti televisyen litar tertutup dan penggera kebakaran, serta pembayaran elektronik dan sistem pengendalian.

 

Syarikat yang mempunyai buku tender sebanyak RM647.2 juta itu sedang menjalankan 11 projek dengan pekerjaan belum dibilkan bernilai RM104.6 juta pada 21 Disember 2024. 

 

"IPO itu dijangka mengumpul hasil kasar sebanyak RM25 juta, yang mana RM11.5 juta telah diperuntukkan untuk modal kerja. 

 

"Sementara itu, RM5 juta akan digunakan untuk membayar sebahagian pinjaman bank berjumlah RM33.4 juta.

 

"Bakinya diperuntukkan untuk merekrut kakitangan pembangunan perniagaan, perbelanjaan modal dan membiayai perbelanjaan penyenaraian," katanya.

 

Di bawah terbitan IPO, TechStore akan menawarkan 25 juta saham baharu kepada orang ramai Malaysia, dan 25 juta saham lagi kepada individu yang layak. 

 

Syarikat itu juga akan memperuntukkan 62.5 juta saham baharu kepada pelabur Bumiputera, dan 12.5 juta saham kepada pelabur terpilih.

 

Hasil daripada tawaran untuk jualan melalui penempatan persendirian berjumlah RM5 juta akan diperuntukkam sepenuhnya kepada pemegang saham jualan tunggal dan Pengarah Eksekutif, Mohd Fadzil Mohd Daud.

 

Pengarah Urusan TechStore Tan Hock Lim berkata, IPO itu akan dijadikan pemangkin bagi mengukuhkan kehadiran pasaran syarikat dan memancu perkembangan masa hadapan. 

 

Tan kini merupakan pemegang saham terbesar TechStore, memegang 78.7% kepentingan ekuiti, manakala Mohd Fadzil memegang baki 21.3%. Selepas IPO, pegangan Tan akan dicairkan kepada 59%, manakala pegangan saham Mohd Fadzil akan menyusut kepada 11%.

 

Pada harga IPO 20 sen sesaham, TechStore akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM100 juta. 

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com