Inflasi Malaysia menyederhana pada 1.7 peratus pada Disember 2024, kata DOSM  | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia menyederhana pada 1.7 peratus pada Disember 2024, kata DOSM 

Peningkatan inflasi makanan dan minuman sebanyak 2.7% itu disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang menaik sebanyak 3.6% - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.7% pada Disember 2024, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) berada pada 133.4 mata berbanding 131.2 pada tempoh sama tahun lepas, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.7% pada Disember 2024. 

 

Katanya, peningkatan itu disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang menaik sebanyak 3.6%. 

 

"Kenaikan harga bagi sayur-sayuran dipengaruhi oleh cuaca buruk dan kekerapan hujan yang melanda kawasan  pengeluaran utama seperti di Tanah Tinggi Cameron.

 

"Selain itu, kelas perbelanjaan daging mencatatkan penurunan  0.3% pada bulan Disember 2024 manakala, daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan daging merekodkan peningkatan perlahan pada 0.9%. 

 

"Purata harga ayam yang diselaraskan di Malaysia pada Disember 2024 adalah RM10.32 sekilogram berbanding RM10.18 sekilogram pada Disember 2023," katanya dalam laporan Indeks Harga Pengguna Malaysia yang dikeluarkan hari ini. 

 

DOSM

 

Selain itu, inflasi pengangkutan kekal pada 0.4% pada Disember 2024 berbanding November 2024 didorong oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat sebanyak 1% pada Disember 2024. 

 

Di samping itu, inflasi Petrol tanpa plumbum RON97 menurun sebanyak 7.5%. 

 

Purata harga runcit Petrol tanpa plumbum RON97 pada Disember 2024 ialah RM3.21 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Disember 2023. 

 

Mengulas mengenai kadar inlasi menikut negeri, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan inflasi di bawah paras 1.7%. 

 

"Walau bagaimanapun, inflasi bagi lima negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.6%), Pahang (2.3%), Selangor (2.0%), Johor (1.8%) dan Sarawak (1.8%).

 

"Bagi kadar inflasi makanan & minuman tertinggi, Selangor mencatat inflasi sebanyak 4.1%, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.1%), Johor (3%), Terengganu (2.9%) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9%)," katanya. 

 

Sementara itu, bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.7%) lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (2.9%), Filipina (2.9%) dan Republik Korea (1.9%), manakala, kadar inflasi tersebut lebih tinggi berbanding Indonesia (1.6%), Thailand (1.2%) dan China (0.1%). - DagangNews.com