KUALA LUMPUR 22 Jan - Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menyambut baik pengumuman terkini oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengenai peranan kepimpinan Malaysia dalam melaksanakan lima projek utama bagi memacu peralihan digital ASEAN pada 2025.
Pengerusi PIKOM, Alex Liew berkata, inisiatif tersebut selaras dengan visi PIKOM untuk memupuk daya cipta, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian dalam ekonomi digital Malaysia.
"Pendekatan proaktif Malaysia dalam mendorong inisiatif strategik ini amat dipuji dan meletakkan negara kita sebagai pemimpin digital di rantau ASEAN.
"PIKOM komited untuk menyokong usaha ini melalui penglibatan industri dan inisiatif perkongsian pengetahuan yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor digital yang bertanggungjawab dan lestari," katanya dalam satu kenyataan.
Lima projek tersebut diumumkan Gobind Singh pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang ke-5 (ADGMIN) di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Ia merangkumi pemerkasaan penggunaan selamat kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara, pembangunan pusat data lestari, rangka kerja pengkomputeran awan rentas sempadan, pembangunan tenaga kerja 5G dan pembangunan strategi kerjasama keselamatan siber ASEAN.
Liew berkata, sebagai suara industri teknologi, PIKOM komited untuk bekerjasama rapat dengan pembuat dasar dan pemegang kepentingan industri bagi memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut.
"Melalui pelbagai platform kepemimpinan, PIKOM akan terus menggalakkan dialog mengenai isu-isu kritikal seperti etika AI, tadbir urus data, keselamatan siber dan ESG dalam sektor digital.
"PIKOM telah menerbitkan Kertas Dasar Etika AI pada tahun 2024 yang boleh dijadikan rujukan," jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan fokus terhadap pemecutan pertumbuhan ekonomi serantau melalui penyelesaian rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Katanya, industri menjangkakan manfaat ekonomi yang signifikan daripada DEFA yang akan meningkatkan kedudukan ASEAN dalam ekonomi digital global.
"Pada masa ini, wakil PIKOM memegang jawatan pengerusi dalam World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) dan Asian Oceanian Computing Industry Organisation (ASOCIO), yang boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan pembangunan perdagangan digital.
"Kami turut menjemput industri untuk secara aktif bekerjasama dengan kami dalam usaha ini, berkongsi maklum balas yang bernilai yang akan menyokong pertumbuhan dan tadbir urus yang baik dalam ekonomi digital," katanya. - DagangNews.com