KUALA LUMPUR 22 Jan - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.
Pada masa hadapan, pertumbuhan pengukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada 2025, didorong perbelanjaan domestik yang berdaya tahan. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.
Bank pusat itu berkata, ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024 dan keadaan itu mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi-ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.
"Bagi 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat. Perdagangan global dijangka kekal mampan secara keseluruhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.
"Bagaimanapun, prospek ini boleh dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan sekatan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak.
"Ketidakpastian dasar yang kekal tinggi juga boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global yang lebih ketara," katanya alam satu kenyataan, hari ini.
BNM berkata, aktiviti pelaburan mantap akan diteruskan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.
Katanya, pelaburan itu disokong modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.
"Eksport disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus meningkat dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan daripada kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya.
Pada tahun ini, katanya, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan domestik yang berlebihan.
Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat.
Sementara itu, prestasi ringgit terus didorong terutamanya faktor luaran. Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.
"Walaupun pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh ketidakstabilan disebabkan ketidakpastian dasar-dasar global, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur domestik yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit," katanya. - DagangNews.com