Petronas tersenarai dalam 500 jenama paling berharga dunia, bernilai AS$14.4 bilion - Brand Finance | DagangNews Skip to main content

Petronas tersenarai dalam 500 jenama paling berharga dunia, bernilai AS$14.4 bilion - Brand Finance

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus menunjukkan daya tahan dengan memperoleh tempat 160 daripada 500 jenama paling berharga dunia, kata firma penilaian jenama global, Brand Finance.

 

Firma tersebut melaporkan, nilai jenama minyak dan gas Malaysia dalam ranking global menurun 1% kepada AS$14.4 bilion.

 

"Jenama nasional berada di kedudukan 160 antara 500 jenama paling berharga di dunia tahun ini.

 

" Petronas mengekalkan penarafan kekuatan jenama, walaupun menurun empat mata dalam skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) kepada 84 daripada 100.

 

"Petronas dilihat sebagai jenama yang boleh dipercayai, mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga di rantau ini," katanya dalam satu laporan dikeluarkan, hari ini.

 

Brand Finance menilai kekuatan jenama dan mengukur nilai kewangan mereka untuk membantu organisasi membuat keputusan strategik.

 

Setiap tahun, Brand Finance mengendalikan lebih daripada 6,000 penilaian jenama, disokong oleh penyelidikan pasaran asal dan menerbitkan lebih 100 laporan yang meletakkan kedudukan jenama merentas semua sektor dan negara.

 

Pengarah Urusan Asia Pasifik Brand Finance, Alex Haigh berkata, kedudukan Petronas kekal kukuh dalam ranking global sebagai jenama minyak dan gas paling bernilai di rantau ini selama 14 tahun berturut-turut.

 

"Pertumbuhan berterusan mereka menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk berinovasi dan memimpin dalam pasaran yang semakin kompetitif," katanya. 

 

Sementara itu, Apple sekali lagi merupakan jenama paling bernilai di dunia, dengan nilai jenamanya meningkat 11% kepada AS$574.5 bilion manakala, Microsoft, nilai meningkat 35% kepada AS$461 bilion mendapat tempat kedua an Google, jenama ketiga paling bernilai di dunia, menyaksikan nilai jenamanya meningkat sebanyak 24% kepada AS$413 bilion.- DagangNews.com