Blueprint Malaysia 2030: PowerPoint Penuh Formula, Pelaksanaan?
Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Segamat, Johor
Parlimen negara maju membahas masa depan ekonomi digital, strategi dekarbonisasi, dan automasi tenaga kerja.
Malaysia? Pemimpin sibuk berkelahi soal kuasa, menjadikan Dewan Rakyat tidak ubah seperti rancangan realiti TV – penuh pekikan, kosong tindakan.
Ketika dunia melangkah ke hadapan, kita terperangkap dalam gelung masa, masih bermain wayang politik tanpa hala tuju.
Laporan Future of Jobs Report 2025 dari Forum Ekonomi Dunia memberi amaran keras: menjelang 2030, 170 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan, tetapi 92 juta pekerjaan akan lenyap.
Ini bukan hanya soal angka tetapi realiti yang memerlukan keberanian luar biasa untuk bertindak. Sayangnya, Malaysia masih lena dalam mimpi indah, bermandikan retorik kosong dan dasar setengah masak.
Robot Ambil Alih Dunia, Tapi Kita Masih Sibuk Dengan Kertas Kerja
Automasi dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar fantasi teknologi. Di peringkat global, 86% majikan percaya AI akan mentransformasi perniagaan mereka dalam dekad akan datang.
Di Malaysia, sistem pembayaran kendiri di pasar raya dan penggunaan robot di kilang menunjukkan permulaan perubahan ini. Hebat, bukan?
Sementara itu, di Singapura, mereka sudah jauh ke hadapan dengan strategi AI Nasional yang berfungsi seperti jentera robotik itu sendiri – sistematik, efisien, dan pantas.
Dengan program seperti AI Singapore dan Smart Nation, mereka sedang membina bandar pintar, bukan sekadar berangan dalam PowerPoint.
Di sini? Hanya 25% PKS kita yang cuba-cuba mengenali AI, sementara selebihnya mungkin masih sibuk menaip laporan projek setebal 200 muka surat tanpa hasil.
Program MyDIGITAL kononnya akan mencipta 500,000 pekerjaan bernilai tinggi menjelang 2030.
Tapi, kalau dibandingkan dengan Singapura, yang sejak 2019 sudah melatih 15,000 bakat AI melalui pelbagai geran dan program kolaborasi, kita nampaknya lebih minat dengan slogan besar dan tindakan kecil.
Bakat teknologi? Ada, tapi lebih kepada bakat melambatkan projek dengan alasan birokrasi.
Di sekolah pula, kita masih ajar pelajar fakta-fakta statik yang mungkin relevan pada zaman mesin taip. Singapura? Oh, mereka dah ajar budak-budak sekolah rendah asas kecerdasan buatan dan pengaturcaraan.
Tapi tidak mengapa, kita boleh terus berharap silibus terkini akan membantu mereka bersaing dalam revolusi AI.
Melahirkan Graduan untuk Kerja Yang Tak Wujud
Statistiknya jelas: 39% kemahiran penting hari ini akan menjadi usang menjelang 2030. Tetapi sistem pendidikan kita masih terikat kepada penilaian akademik konvensional.
Blueprint Pendidikan Tinggi 2015–2025 kononnya menekankan kebolehpasaran graduan, tetapi pelaksanaannya tidak konsisten.
Hanya 24,000 graduan setahun di Malaysia dilengkapi kemahiran teknologi tinggi, sedangkan pasaran kerja memerlukan sepuluh kali ganda lebih ramai.
Bagaimana kita mahu melonjakkan ekonomi digital jika graduan kita masih kekal sebagai pengguna biasa, bukan peneraju inovasi dan pencipta teknologi?
Kos Hidup Tinggi, Tapi Kos Tiada Tindakan Lebih Mahal
Kenaikan kos sara hidup memaksa syarikat mengurangkan kos operasi melalui automasi. Dalam sektor logistik, gudang automatik menggantikan pekerja manual, manakala ladang sawit kini menggunakan dron untuk pemantauan.
Apa nasib pekerja manual ini? Tanpa akses kepada latihan semula (reskilling) atau peningkatan kemahiran (upskilling), mereka bakal menjadi statistik pengangguran.
Contohi Indonesia, di mana program Kartu Prakerja berjaya melatih berjuta-juta pekerja manual untuk beralih ke sektor berkemahiran tinggi.
Malaysia pula? Kita masih sibuk berbincang siapa yang patut tanggung kos latihan semula – kerajaan atau swasta, sementara ribuan pekerja terus kehilangan pekerjaan.
Vietnam Dah Pandu Tesla, Kita Masih Tanya – ‘Bolehkah Pelita Guna Solar?’
Future of Jobs Report 2025 dengan jelas menunjukkan bahawa 47% majikan global sudah memandang serius dekarbonisasi, manakala 41% memberi tumpuan kepada adaptasi iklim.
Vietnam, sebagai contoh, telah menarik pelaburan besar melalui dasar mesra pelabur, menjadikan mereka peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui.
Malaysia? Ya, kita pun ada usaha – Program Large-Scale Solar 4 (LSS4) berjaya tambah lebih 1GW tenaga boleh diperbaharui ke grid nasional. Tapi, seperti biasa, birokrasi perlahan dan dasar tidak konsisten memastikan kita kekal juara dalam halangan diri sendiri.
Lebih memalukan, sementara Vietnam memacu inovasi, kita masih sibuk berdebat sama ada pelita solar boleh menggantikan lampu jalan.
Sasaran tenaga boleh diperbaharui 31% menjelang 2025 hanya akan kekal sebagai satu lagi mimpi indah jika retorik terus menggantikan tindakan.
Kalau birokrasi ini boleh dikira sebagai sumber tenaga, mungkin kita dah jadi kuasa besar tenaga boleh diperbaharui sekarang.
A+ di Universiti, Tapi F di Pasaran Kerja
Populasi muda Malaysia seharusnya menjadi aset strategik. Tetapi, adakah mereka sedar cabaran masa depan pekerjaan?
Statistik global menunjukkan bahawa 1.2 bilion belia akan memasuki pasaran kerja menjelang 2030, tetapi hanya 420 juta pekerjaan tersedia.
Inisiatif seperti eRezeki dan eUsahawan adalah langkah awal yang baik, tetapi skala dan impaknya terlalu kecil untuk menangani isu pengangguran belia secara menyeluruh.
Sebaliknya, program Skill India telah berjaya melatih berjuta-juta belia dengan kemahiran relevan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, dan institusi pendidikan, menjadikan mereka lebih kompetitif di peringkat global.
Malaysia perlu berhenti berpuas hati dengan inisiatif berskala kecil yang hanya cukup untuk mencantikkan laporan.
Jika benar mahu memastikan belia menjadi pemacu ekonomi masa depan, pelaburan berskala besar dan kerjasama erat dengan industri adalah keperluan mutlak – bukan sekadar berharap hasil luar biasa daripada usaha yang biasa-biasa.
Shopee dan TikTok Lebih Efisien, Dasar Negara Masih di Tahap PDF
Platform seperti TikTok Shop, Shopee, dan Lazada membuka peluang besar untuk ekonomi digital. Tetapi adakah tenaga kerja kita bersedia memanfaatkan potensi ini?
Laporan menunjukkan hanya 12% tenaga kerja global telah memperoleh kemahiran digital tinggi, sedangkan permintaan meningkat 22% sejak 2022.
Di Malaysia, majoriti pengguna hanya tahu menekan “add to cart” dan “checkout” – pendek kata, kita lebih selesa menjadi pembeli pasif daripada pencipta nilai.
Literasi digital dan kewangan sepatutnya menjadi agenda utama, tetapi malangnya, agenda kita nampaknya lebih kepada menghasilkan dokumen strategi yang tinggal sebagai PDF sahaja.
Kalau ini cara kita bergerak ke hadapan, jangan terkejut kalau ekonomi digital kita kekal sekadar pasaran pengguna, bukan pemacu pertumbuhan negara.
Malaysia 2030: Robot Kerja, Manusia Sibuk Jadi Influencer
Ketika negara-negara maju sibuk merangka pelan strategik untuk menguasai ekonomi digital, menangani perubahan iklim, dan memanfaatkan teknologi automasi, kita masih terbelenggu dalam drama politik yang tiada penghujung.
Mereka bergerak ke hadapan dengan inovasi dan kelestarian, sementara kita terus terhenti, asyik bertelagah tentang kuasa tanpa hala tuju yang jelas.
Tiga langkah utama yang mesti diambil:
- Revolusi Pendidikan
Sistem pendidikan perlu segera dirombak untuk mengintegrasikan kemahiran masa depan seperti AI, teknologi hijau, dan analitik data.
- Mempercepatkan Transformasi Digital
Insentif diperlukan untuk membantu PKS mengadaptasi teknologi. Penubuhan pusat sokongan digital di seluruh negara boleh mempercepatkan integrasi ini.
- Memajukan Ekonomi Hijau
Dasar yang lebih telus dan insentif pelaburan diperlukan untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sektor utama ekonomi negara.
Harapan 2030? Tangguh Lagi Sampai Mesyuarat Seterusnya
Saat ahli parlimen memekik di Dewan Rakyat seperti pelakon dalam drama politik episod ke-89, dunia sedang berbicara tentang koloni di Marikh. Malaysia?
Kita sibuk ulang skrip sama tanpa henti. Pendidikan kita? Cemerlang dalam melahirkan graduan untuk kerja yang tak wujud. Ekonomi hijau? Macam pelita solar – banyak cakap, tiada hasil.
Kalau ini cara kita merancang masa depan, tak mustahil suatu hari nanti robot di Vietnam akan ketawa sambil bertanya: “Eh, Malaysia masih bincang pasal pelita solar ke?”
Betul lah Einstein kata, kebodohan memang tiada hadnya – dan nampaknya, kita sedang membuktikan beliau betul. - DagangNews.com