Terkenang Reformasi, Anwar dipecat 1998, kena `cold storage' oleh TV3
PADA 2 September 1998, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno Anwar Ibrahim dipecat oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan (Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Petang pemecatan, saya yang terkejut dan menerima panggilan telefon dari (Dato Seri) Zulikifli Noordin yang mengajak ke rumah Anwar di Bukit Damansara. Dari situ saya terus mendengar Anwar dan kemudian Zulikfli menjadi peguam Anwar.
Dengan pemecatan itu mencetuskan pergerakan Reformasi pada 20 September 1998. Saya mengikuti Zulkifli dan bersama ribuan rakyat memenuhi jalan raya Kuala Lumpur membantah kekejaman terhadap Anwar, ratusan ditangkap termasuk Zulkifli dibawah ISA dan dihumban masuk penjara.
Sekali gus mencetuskan perubahan dalam landskap politik Malaysia, KeAdilan yang kemudian jadi PKR dibentuk namun saya tidak menjadi ahli. Ketika Anwar dalam penjara, isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail menerajui parti itu melawan kerajaan BN.
Pada masa itu saya bekerja di TV3 dan ramai staf TV3 yang bersama reformasi. Ramai kami yang dibuang kerja 24 jam pada tarikh akhir tahun 1999.
Saya mula bekerja di TV3 pada 1991 di mana saya menerima sepucuk surat yang meminta saya melaporkan diri ke TV3 di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Jabatan Sumber Manusia.
Pada ketika itu, saya tidak tahu di mana letaknya Wisma YPR kerana TV3 beroperasi di Jalan Liku. Rupa-rupanya, Wisma YPR adalah milik Tun Daim Zainudin dan terletak di bangunan yang dimilikinya.
Setibanya di pejabat, saya bertemu dengan seorang pegawai yang memberikan saya surat penerimaan jawatan, lengkap dengan gaji dan faedah yang akan saya terima. Namun, apabila saya melihat surat tersebut, saya perasan sesuatu yang aneh — tiada jawatan yang dinyatakan.
"Apa jawatan saya?" saya bertanya.
Pegawai itu tersenyum. "Saya pun tak tahu."
Saya tercengang dan terkejut. "Di mana saya akan bekerja?"
"Saya pun tak tahu, tetapi ia di Jalan Liku," jawabnya dengan nada tenang.
Dengan segera, saya bergerak ke Jalan Liku untuk bertemu bos saya. Saya kemudian diarahkan pergi ke pejabat di Jalan Liku yang tiada. Buat sementara waktu, saya terpaksa duduk di gerai kaki lima.
Di gerai itu, saya melihat kesibukan para pekerja TV3 yang bertebaran di enam bangunan sekitar Jalan Liku. Pejabat saya pula terletak di bangunan baru yang disewa oleh TV3.
Dari gerai Jalan Liku tanpa kad dan peralatan, saya hanya memerhati dan berjalan dari satu bangunan ke bangunan lain dengan memikirkan kerja yang akan saya lakukan. Pada masa itu, tiada lagi teknologi maklumat di TV3 hanya sokongan untuk sistem komputer penerbitan berita dan sukan.
Tidak lama kemudian, saya dipindahkan ke Wisma YPR sebelum akhirnya ditempatkan di Sri Pentas, Bandar Utama.
Pada tahun 1993, saya mula melibatkan diri dalam politik Rompin. Jamaludin Jarjis, yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Rompin, Pengerusi Bahagian parti dan juga EPE, berhasrat untuk menaja saya sebagai calon Ketua Pemuda.
Saya sering berjumpa dengan arwah JJ untuk berbincang pelbagai perkara, termasuk di rumahnya dan juga di pejabat EPE. JJ memandang saya seperti saudara kerana abah saya berasal dari Pekan.
Salah satu nasihat JJ mengenai politik UMNO di Rompin yang masih terngiang-ngiang di kepala saya ialah, "Ramai penyamun, dan mereka hanya mahu menyamun!" Nasihat itu membuatkan saya terkedu. Saya mengundur diri dari politik kerana perlukan kewangan yang banyak walau ditawarkan wakil rakyat dan ditaja oleh JJ.
Pada tahun 1995, saya dipinjamkan ke Mega TV, mula-mula sebagai Pengurus Teknologi Maklumat, kemudian sebagai Pengarah Pantai Timur dan Malaysia Timur. Saya berjalan setiap minggu ke pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
Setiap hari sebagai pengurus besar, tugas-tugas khas saya tidak mempunyai tugas. Diberikan seorang setiausaha dan lima orang pemberita yang diletakkan dibawah saya. Pemberita itu semuanya terlibat dalam reformasi.
Kami menjadi ‘cold storage’ dalam enam bulan, hanya masuk kerja pada pukul 8 pagi dan balik pada pukul 5 petang setiap hari.
Kami berbual pada mulanya, tetapi lama-kelamaan, kami kehabisan idea. Saya menempah semua akhbar harian dan menonton dua TV di pejabat yang besar itu. Saya juga mempunyai setiausaha yang akhirnya berhenti kerana bosan tiada kerja. Wartawan-wartawan lain juga berhenti, meninggalkan saya seorang diri.
Saya diarahkan untuk berhenti, tetapi saya tetap datang bekerja sambil mencari peluang pekerjaan baru menggunakan komputer riba saya. Saya dipanggil temuduga oleh beberapa syarikat, tetapi hati saya sudah menetapkan untuk bekerja di luar negara.
Pada masa itu, ada anggota SB (Special Branch) di TV3 yang sering menyapa saya dan berkata tiada syarikat akan mengambil saya kerana saya dianggap "anti-kerajaan".
Pada masa inilah saya bertemu dengan pengikut Nabi Khidir yang menganggap saya sebagai ketua. Ini kerana diberitahu oleh seorang pengikut Nabi Khidir dari negara China yang mengaku saudara mara saya (saya asal keturunan Cina sebelah ibu) agar mereka mencari saya. Mereka menemui saya di Chow Kit Road (kisah sepenuhnya dalam buku saya, ‘Pengikut Nabi Khidir terdapat di e-sentral.com.)
Saya pernah menerima tawaran daripada MAS untuk bekerja dalam bahagian teknologi maklumat, tetapi gajinya terlalu rendah. Lagipun, saya sudah bertaraf Pengurus Besar; takkanlah saya mahu turun pangkat menjadi pengurus biasa tetapi untuk berjalan ke serata dunia menarik minat.
Penglibatan saya dalam Reformasi tahun 1998 menyebabkan saya sering berdemonstrasi hampir setiap minggu. Saya juga selalu ke rumah Anwar Ibrahim pada waktu malam.
Selain itu, saya turut berkempen di Kuala Rompin di bawah tiket PAS, memberi ceramah di kampung-kampung dan bercakap di pentas politik.
Pernah sekali, saya perlu menyampaikan ceramah di sebuah kampung yang hanya boleh diakses dengan motosikal di daerah Rompin.
Kami meredah beberapa batang sungai untuk sampai ke kampung tersebut, dan saya menangis melihat kehidupan daif penduduknya. Hutan tebal dan kegelapan menyelimuti, ditambah dengan hujan yang membuatkan suasana semakin dingin dan basah.
Dalam perjalanan pulang, kami mendapat tahu ada gengster sedang menunggu untuk menyerang kami kerana menentang calon BN. Namun, selepas subuh, kami kembali ke Kuala Rompin dengan selamat. Gengster tersebut sudah beredar.
Saya terus berucap di pelbagai tempat dengan memperkenalkan diri sebagai wakil TV3, walaupun saya tahu ada SB dalam kalangan pendengar.
Namun, saya tidak peduli kerana semangat untuk mengubah keadaan politik yang bercelaru sudah membara dalam diri saya. Saya juga mula menulis di akhbar Harakah hampir setiap minggu.
Ada editor akhbar harian yang memanggil saya derhaka dan tidak berterima kasih kepada kerajaan yang memberi peluang untuk saya menulis.
Saya tidak kisah dan terus tidak menghantar karya kepada akhbar harian yang sentiasa menyokong kerajaan.
Saya kemudian dipanggil oleh Pengarah Urusan TV yang berjanji untuk memberi jawatan baru. Itu hanya janji. Saya tahu bahawa giliran saya akan tiba untuk dibuang kerja. Saya hanya menunggu masa sambil mencari kerja di luar negeri.
Itulah kisah saya di TV3 sebelum akhirnya berpindah ke Riyadh, Arab Saudi.
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA