KUALA LUMPUR 26 Dis - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham utama YTL Power International Bhd selepas melupuskan hampir 15 juta saham syarikat itu.
YTL Power dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, notis bertarikh 23 Disember 2024 itu diterima hari ini dengan secara khususnya KWSP melupuskan sejumlah 14,926,300 saham.
Berdasarkan pemfailan YTL Power pada 18 Disember 2024, KWSP memegang sejumlah 412 juta saham dalam kumpulan itu, bersamaan dengan 5.019% kepentingan.
"Berikutan pelupusan saham tersebut, KWSP bukan lagi pemegang saham utama YTL Power," katanya.
Harga saham syarikat utiliti itu melonjak 16% selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama anak syarikatnya YTL Communications Sdn Bhd daripada sebarang salah laku dalam projek 1BestariNet.
Berdasarkan harga penutup RM4.08 pada 19 Disember dan RM4.11 pada 23 Disember2024, hasil daripada penjualan saham boleh berjumlah sekitar RM61 juta.
Pada 20 Disember 2024, saham YTL Power melonjak ke paras tertinggi tiga bulan RM4.30, berpotensi memberi pulangan RM64 juta untuk KWSP.- DagangNews.com