Agensi perhubungan awam Malaysia, Perspective Strategies rangkul lapan kemenangan Anugerah PR Global di Geneva | DagangNews Skip to main content

Agensi perhubungan awam Malaysia, Perspective Strategies rangkul lapan kemenangan Anugerah PR Global di Geneva

Pengarah Urusan, Andy See dan Pengarah Eksekutif, Tan May Lee menerima anugerah di PRGN 2024 di Geneva, Switzerland
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Dis - Agensi perhubungan awam (PR) Malaysia, Perspective Strategies membawa pulang lapan kemenangan anugerah daripada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) dan Anugerah Amalan Terbaik Rangkaian Global Perhubungan Awam (PRGN) di Geneva, Switzerland.

 

Perspective Strategies berkata, kempen KitKat Dark Borneo oleh Nestle, yang menonjolkan asal usul biji koko dari Sabah dan Sarawak sambil menyokong amalan perladangan mampan melalui Pelan Koko Nestle, memperoleh anugerah emas dalam kategori pelancaran pengguna B2C (niaga ke pengguna) di MPRA.

 

Katanya, kempen itu turut meraih emas dalam kategori produk komunikasi B2C di Anugerah PRGN.

 

“Sementara itu, kempen A Collective Fight Against Banking Scams, oleh Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), memenangi emas dalam kategori hal ehwal awam dan mendapat anugerah perak dalm kategori kempen bersepadu diterajui PR terbaik di MPRA.

 

“Kempen ini turut diiktiraf dengan anugerah gangsa dalam dua kategori iaitu, hal ehwal awam dan kempen bersepadu di Anugerah PRGN. 

 

“Ia memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran orang ramai tentang amalan perbankan dalam talian yang selamat dan memperkasakan individu untuk melindungi diri mereka daripada penipuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Di samping itu, The FedEx Cares MY x TrEES Partnership, sebuah program CSR komuniti yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan dan pemeliharaan alam sekitar, menerima anugeah perak dalam kategori kempen belanjawan kecil di PRGN.

 

Tambahan pula, kempen Localising an MNC Brand: Engaging Communities untuk FedEx Malaysia turut memenangi anugerah gangsa dalam kategori penjenamaan korporat di MPRA.

 

Perspective Strategies
Pasukan Perspective Strategies meraikan lapan kemenangan anugerah pada tahun 2024

 

Pengarah Urusan, Andy See berkata, anugerah tersebut merupakan penghormatan kepada kerja keras pasukan dan perkongsian kukuh yang dengan pelanggan.

 

“Setiap kempen adalah hasil komitmen bersama untuk mencipta kerja yang menghubungkan, memaklumkan dan akhirnya membuat perubahan. 

 

“Ia benar-benar menggembirakan untuk melihat usaha ini diiktiraf di peringkat tempatan dan global,” katanya.

 

Anugerah PRGN 2024 mencatat rekod tertinggi baharu dengan 173 penyertaan daripada 30 agensi global dalam sejarah 13 tahun program itu.

 

MPRA 2024, yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 Persatuan Perhubungan Awam & Komunikasi Malaysia, turut mencapai kejayaan bersejarah dengan 184 penyertaan dan 111 anugerah disampaikan dalam 35 kategori.- DagangNews.com