Skip to main content

Abdul Karim berikrar pulihkan saham Serba Dinamik

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Tindakan yang diambil Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah yang melupuskan keseluruhan pegangan waran dalam Serba Dinamik Holdings Bhd. sepatutnya tidak menjejaskan harga saham kumpulan memandangkan ia mewakili entiti yang berbeza.

 

Namun, tindakan pengasas bersama, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu minyak dan gas ini mula menimbulkan persoalan dari segi kepercayaan dan kelestarian kedudukan kewangan syarikat.

 

Abdul Karim yang sebelum ini turut mengurangkan pegangan sahamnya ekoran jualan paksa, menegaskan tindakannya melupuskan 55.9 juta saham waran dalam minggu 'adalah semata-mata keperluan perniagaan'.

 

Beliau juga mengulangi komitmennya untuk 'memulihkan semula Serba Dinamik daripada zaman kegelapan'.

 

"Pelupusan waran ini adalah untuk memanfaatkannya yang mana ia didagangkan pada harga premium dan tidak boleh dianggap bahawa saya mempunyai niat untuk keluar daripada `kapal’ ini memandangkan saya membinanya dengan keringat, air mata dan darah.

 

"Sudah pasti saya mahu memastikannya dapat terus belayar dalam lautan yang bergelora ini," katanya kepada DagangNews.com.

 

Beliau juga memberi jaminan akan menyalurkan jualan daripada waran ini untuk memperoleh kembali saham syarikat.

 

"Di sebalik ketidaktentuan ini, perniagaan berjalan seperti biasa di Serba Dinamik memandangkan nilai kontrak kami kini berjumlah RM18 bilion," katanya lagi.

 

Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah
                                      Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

 

Sementara itu, Bursa Malaysia telah bertindak menggantung dagangan saham Serba Dinamik pada pukul 2.30 petang ini sehingga diberitahu kelak bertujuan mengekalkan ketenteraman dan pasaran adil ke atas saham tersebut.

 

Sebelum digantung, saham Serba Dinamik menyusut dua sen atau 5.41% untuk berada di paras 35 sen dengan 105.18 juta saham didagangkan ketika pasaran ditutup 12.30 tengah hari Jumaat.

 

Waran syarikat itu pula susut 0.5 sen atau 6.67% untuk berada di paras tujuh sen dengan 16.31 juta sekuriti didagangkan.

 

Pada harga saham 35 sen, Serba Dinamik masih memiliki permodalan pasaran kira-kira RM1.3 bilion berdasarkan saham terbitan syarikat sebanyak 3.71 bilion.

 

Semua ini didodong oleh pengumuman syarikat mengenai tindakan Abdul Karim Abdul Karim akan melupuskan waran 21.58 juta waran pada 18 Oktober lalu, diikuti 34.2 juta pada 20 Oktober dan 123,600 pada 21 Oktober.

 

Keseluruhan waran yang dilupuskan ini merangkumi kira-kira 6.34% daripada jumlah waran kumpulan.

 

Sementara itu, Abdul Karim memiliki pegangan langsung sebanyak 786.38 juta saham atau 21.2% dalam Serba Dinamik setakat 4 Oktober 2021. – DagangNews.com