KUALA LUMPUR 27 Dis - Pemaju hartanah tersenarai di Pasaran UTAMA, Paragon Globe Bhd (PGB) (dahulunya Goh Ban Huat Bhd) mendapat kelulusan 99.99% daripada pemegang sahamnya bagi kesemua lima resolusi yang dibentangkan semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Katanya, mandat kukuh ini membuka jalan kepada PGB untuk melaksanakan latihan korporat utama untuk memacu strategi pertumbuhannya dan meningkatkan nilai pemegang saham.
Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, kelulusan ini membolehkan syarikat melaksanakan visi strategik dan memanfaatkan peluang dalam pasaran hartanah yang dinamik.
Terdahulu, pemegang saham PGB telah meluluskan cadangan pengambilalihan beberapa hartanah yang terletak di lokasi strategik, termasuk34.4 hektar tanah perindustrian pegangan bebas di Mukim Plentong, Johor pada harga RM28.56 juta dan 13.35 hektar tanah pertanian pegangan bebas di Mukim Plentong, Johor dengan pertimbangan pembelian RM34.96 juta.
Menyedari keperluan pasaran yang semakin berkembang, pemegang saham turut meluluskan cadangan pelupusan 34.8 hektar tanah perindustrian pegangan bebas di Desa Cemerlang, Johor kepada Bridge Data Centers Malaysia IV Sdn Bhd dengan jumlah tunai RM238.32 juta.
Seterusnya, 307.16 hektar tanah perindustrian pegangan bebas di Desa Cemerlang, Johor kepada Bridge Data Centers Malaysia VI Sdn Bhd dengan jumlah tunai RM98.98 juta.
Paragon Platinum Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paragon Globe Bhd memulakan pembinaan pembangunan perindustrian Desa 27 di Desa Cemerlang, Johor Bahru pada 2 November 2024.
Penjualan strategik tersebut membuka nilai penting daripada bank tanah PGB, membolehkan pembangunan pusat data yang akan menyumbang kepada infrastruktur digital Johor.
Selain itu, pemegang saham PGB juga menyokong rancangan kumpulan untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya dengan meneruskan perkongsian strategik, termasuk cadangan usaha sama dengan Tropicana Danga Bay Sdn Bhd untuk membangunkan projek mercu tanda di Danga Bay.
Perjanjian hak pembangunan dengan Tropicana Danga Bay memerlukan pertimbangan sebanyak RM102.46 juta.
Komited untuk menyepadukan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasinya, kumpulan itu giat meneruskan inisiatif hijau, termasuk projek Provisional GreenRE yang disahkan seperti Desa 27 (Plot 3 dan Plot 4) di Desa Cemerlang dan asrama PGB di Pekan Nenas serta pembangunan pangsapuri servis yang akan datang di Johor Bahru.
Tan berkata, kemampanan adalah sebahagian daripada strategi perniagaan kumpulan.
"Dengan mengambil kira ESG ke dalam pembangunan kami, kami mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami dan menyumbang kepada masa depan yang lebih baik.
“Dengan kelulusan pemegang saham, PGB berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan strategi pertumbuhannya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.
"Kumpulan kekal memberi tumpuan untuk menyampaikan pembangunan yang inovatif dan mampan yang memenuhi keperluan pasaran yang semakin berkembang,” katanya. - DagangNews.com