Kerajaan belum memutuskan cadangan kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14 peratus - TNB | DagangNews Skip to main content

Kerajaan belum memutuskan cadangan kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14 peratus - TNB

Gambar hiasan dari laman web rasmi TNB

KUALA LUMPUR 27 Dis - Kerajaan masih belum memutuskan cadangan kenaikan tarif asas sebanyak 14% bagi tempoh kawal selia tiga tahun 2025-2027 (RP4) yang dijangka bermula pada Januari 2025, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Nazmi Othman menjelaskan jadual tarif semasa yang telah ditetapkan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa sebarang perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif sehingga 30 Jun 2025.

 

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu 85% daripada 9 juta pengguna domestik dengan menyediakan tarif elektrik yang berpatutan.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN : Tarif elektrik akan naik 14 peratus mulai Julai 2025

 

ARTIKEL BERKAITAN : Kenaikan tarif elektrik RP4 jangka mendorong perkembangan hasil TNB - penganalisis

 

“Kerajaan akan mengambil masa untuk menyemak semula jadual tarif sebelum mengumumkan struktur yang disemak sebelum Julai tahun depan.

 

"Tarif yang disemak semula akan mempertimbangkan ramalan harga bahan api dan gas berdasarkan unjuran aliran pasaran dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya semasa taklimat media di sini hari ini. 

 

Sementara itu di LANGKAWI, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan majoriti rakyat Malaysia.

 

Menurut beliau, walaupun terdapat keperluan untuk menaikkan tarif, ini tidak sepatutnya melibatkan sebahagian besar penduduk.

 

“Kita tidak benarkan kenaikan tarif elektrik yang menjejaskan masyarakat umum.

 

"Sebarang kenaikan, seperti sebelum ini, hanya akan melibatkan golongan berpendapatan tinggi... yang saya rujuk sebagai industri ultra-kaya atau mengaut keuntungan."

 

Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang menyelia portfolio peralihan tenaga dan transformasi air, dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan penjelasan lanjut mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik tersebut.

 

Saham TNB melonjak 68 sen, atau 4.80% kepada RM14.86, memberikannya permodalan pasaran RM86.38 bilion pada 3.03 petang. Kaunter itu telah memperoleh lebih 48% setakat tahun ini.- DagangNews.com